KECERGASAN luar biasa bintang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo pada usia 40-an bukan satu kebetulan, sebaliknya ia adalah hasil disiplin diet yang sangat ketat dan teliti.
Terbaharu, bekas cef peribadinya, Giorgio Barone mendedahkan rahsia di sebalik rutin pemakanan pemenang Ballon d’Or lima kali itu termasuk punca utama mengapa Ronaldo mengelak daripada meminum susu lembu.
Menurut Barone, Ronaldo menganggap amalan meminum susu dalam kalangan orang dewasa sebagai sesuatu yang ‘salah’ dan lebih memilih alternatif bukan tenusu untuk menjaga tubuhnya.
“Tiada susu. Tiada haiwan lain yang minum susu selepas tempoh tiga bulan.
“Anak lembu pun tidak minum susu selepas usia tiga bulan. Ia tidak wujud dalam alam semula jadi. Hanya manusia yang terus minum susu sehingga usia 30, 40, malah 60 tahun.
“Bagi saya, itu adalah satu kesilapan kerana ia bertentangan dengan fitrah alam,” katanya dalam satu temu bual bersama Covers.com.
Barone menjelaskan bahawa diet bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu sangat seimbang, mengutamakan protein tanpa lemak dan lemak sihat selain mengharamkan terus pengambilan gula halus.
Setiap hidangan direka khas untuk membekalkan tenaga maksimum tanpa melibatkan proses makanan moden yang berat.
“Diet Cristiano sangat seimbang. Dia makan sedikit segalanya, tetapi mestilah sihat. Untuk sarapan, dia biasanya mengambil avokado bersama kopi dan telur tanpa gula. Langsung tiada gula.
“Makan tengah hari pula terdiri daripada ayam atau ikan bersama sayur-sayuran. Jika dia memerlukan karbohidrat, dia mendapatkannya melalui sayur-sayuran. Dia tidak menyentuh makanan berasaskan tepung seperti pasta atau roti,” jelas Barone lagi.
Bagi hidangan makan malam, Ronaldo lebih gemar mengambil makanan ringan seperti filet daging atau ikan yang ditemani dengan sayur-sayuran segar.
Walaupun Ronaldo mempunyai pendapat berbeza dengan bintang Manchester City, Erling Haaland mengenai susu yang mana Haaland sangat menggemari susu mentah, kedua-dua penyerang berbisa ini mempunyai persamaan dalam satu perkara iaitu pengambilan ‘superfood‘.
Barone mendedahkan bahawa Ronaldo adalah peminat organ dalaman, terutamanya hati, yang sangat kaya dengan nutrien penting seperti zat besi.
“Saya setuju dengan diet memakan organ. Hati, jantung dan otak adalah makanan yang sangat sihat. Ia adalah ‘superfood‘.
“Cristiano juga menyukai hati. Ia sangat penting dalam diet atlet kerana kandungan zat besinya yang tinggi. Untuk organ, saya sokong, tetapi bukan untuk susu,” tambahnya.


