Gagal mengawal kemarahan akibat konflik berpanjangan antara punca keretakan rumah tangga pelakon, Idzham Ismail yang baru sahaja disahkan telah bercerai dengan isterinya, Siri Nur Abilah Shamsudin.
Memetik laporan mStar, Idzham berkata Mahkamah Rendah Syariah Klang mengesahkan lafaz cerai yang dilakukan oleh aktor itu pada awal Oktober lalu.
“Baru sah tadi (pagi Isnin). Mahkamah sahkan lafaz cerai yang saya buat pada awal Oktober lalu,” katanya.
Idzham berkata bekas isterinya itu mula berubah sikap selepas diberi keizinan untuk bekerja sebagai pramugari sehingga berlaku perselisihan faham antara mereka sejak Jun lalu.

“Saya kecewa apa yang berlaku sebab ia berpunca daripada masalah kecil sahaja. Selepas saya izinkan dia bekerja semula, dia mula berubah.
“Sudah berbulan-bulan saya cuba memujuk dan tak henti memujuk. Sehinggalah pada awal Oktober saya terlafaz cerai.
“Saya manusia dan bukannya malaikat. Saya sudah bersabar berbulan-bulan,” ujarnya.
Malah, Idzham juga memaklumkan hubungan antara mereka juga sedang berantakan serta berkemungkinan tiada peluang untuk kembali berbaik dengan bekas isterinya.
“Saya boleh katakan hubungan kami sekarang memang tidak baik.
“Buat masa sekarang anak-anak di bawah jagaan saya. Saya mahu didik anak-anak dan mereka mahu tinggal bersama saya.
“Saya dan bekas isteri akan berbincang di masa akan datang tentang hak penjagaan anak,” jelasnya.

Sekadar info, Idzham dan Abilah berkahwin pada Ogos 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nur Sofea Inara, 7 dan Muhammad Idrus, 4 tahun.
Sumber: mstar




