Bangkok: Seorang bekas petinju emas Olimpik yang menjadi buruan polis selepas gagal hadir ke mahkamah atas kes penipuan loteri akhirnya diberkas pihak berkuasa Thailand.
Polis memaklumkan bahawa Manus Boonjumnong, 45, ditahan di sebuah tempat ‘persembunyian’ di wilayah Nonthaburi selepas dikehendaki kerana gagal hadir ke mahkamah bagi dua pertuduhan penipuan.
Petinju kategori light welterweight itu memenangi pingat emas Olimpik Athens 2004 dan perak di Beijing empat tahun kemudian.
Dia didakwa memperdaya mangsa membabitkan kerugian kira-kira 2 juta baht (RM260,000) melalui kuota tiket loteri kerajaan pada 2021.
Mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun sembilan bulan terhadapnya, namun Manus gagal hadir ke mahkamah untuk proses hukuman awal tahun ini, sekali gus melarikan diri.
Semalam, mahkamah mengarahkan Manus dipenjarakan di Penjara Reman Bangkok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




