Beijing: Bekas ketua kuil China yang terkenal sebagai tempat lahir kung fu telah ditangkap dan disiasat atas dakwaan penyelewengan, menurut pihak berkuasa tempatan pada Ahad.
Shi Yongxin, bekas ketua Kuil Shaolin, digugurkan jawatannya pada Julai lalu kerana kelakuan yang dianggap “amat buruk”.
Dakwaan menyalahgunakan dana projek dan aset kuil menyebabkan beliau disiasat dan dilucutkan jubah sami.
Pihak berkuasa di wilayah Henan, lokasi Kuil Shaolin, meluluskan penahanan Shi atas syak wasangka penyelewengan, menyalahgunakan dana dan menerima rasuah,” menurut kenyataan oleh Pejabat Pendakwa Xinxiang.
Shi, 60, mengambil alih jawatan ketua sami pada tahun 1999 dan dalam dekad-dekad berikutnya mengembangkan pengajian dan pengetahuan budaya Shaolin ke luar negara.
Beliau dikenali sebagai “sami CEO” kerana menubuhkan puluhan syarikat di luar negara — namun dikritik kerana dikatakan mengkomersialkan agama Buddha.
Beliau sebelum ini dituduh menyeleweng wang daripada syarikat yang diuruskan kuil, memiliki beberapa kereta mewah, serta mempunyai anak dengan beberapa wanita.
Pada Julai lalu, pihak berkuasa tertinggi Buddha di Beijing membatalkan sijil pentahbisannya selepas dakwaan baharu timbul.
“Tindakan Shi Yongxin bersifat amat buruk, serius menjejaskan reputasi komuniti Buddha serta mencemarkan imej para sami,” kata Persatuan Buddha China ketika itu.
Kuil Shaolin, yang diasaskan pada tahun 495 Masihi, terkenal sebagai tempat lahirnya ajaran Zen Buddha dan kung fu China.
© New Straits Times Press (M) Bhd




