Bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof menawarkan diri bagi membantu seorang lelaki yang dikenakan kompaun RM2,000 kerana melakukan aktiviti ziarah kubur sempena Aidiladha di Jempol, semalam.
Menerusi laman Facebook, bekas pemain berusia 31 tahun itu memohon bantuan orang ramai sekiranya mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut sebelum berjaya ‘menjejakinya’ beberapa jam selepas itu.
Menurut Azmeer, dia sudah menghubungi lelaki berusia 21 tahun berkenaan sekali gus memberitahu hasrat murninya itu dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.
“Alhamdulillah saya dah contact dengan abang yang kena saman tu. Sekarang ni abang tu dalam perjalanan ke pejabat kesihatan. InsyaAllah sebentar lagi selesai segalanya.
“Terima kasih kepada semua yang tolong cari abang tu dan mendoakan. Semoga kita semua dirahmati Allah SWT,” tulisnya.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook bernama Syafiz Huzairi yang mengaku abang kepada lelaki itu berkongsi tangkap layar berita mengenai kompaun terbabit.
Menulis dengan loghat ‘Nogori’, Syafiz berkata adiknya itu melakukan ziarah ke kubur yang tidak jauh dari rumahnya selain bersyukur ramai insan yang tampil ingin membantu.
“Kesian adik den sorg nie kono kompaun..ziarah kubur arwah ayah ehh yg dio sendiri xsempat nk jumpo..pastu bawak plak anak buah ehh ziarah kubur arwah omak ehh..
“Rumah dekat je..bukan rentas daerah pun..sejengkal yo umah ehh dari kubur..haihh..apo pun tgu keputusan KKM untuk kompaun..alhamdulillah ramai yg nk tolong,” katanya.
Memetik laporan BH Online, lelaki itu datang bersama dua anak saudaranya ke tanah perkuburan tersebut sebelum ditahan oleh pasukan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Tanah Perkuburan Islam FELDA Palong 12 dan 13.
Sumber: Facebook Azmeer Yusof & Syafiz Huzairi , BH Online (Abnor Hamizam Abd Manap)
