Bekas penyerang Sabah kini milik JDT

Bekas penyerang Sabah kini milik JDT

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperkukuh barisan serangan apabila memperkenalkan penyerang import baharu, Ajdin Mujagic, sebagai tonggak terbaharu Harimau Selatan bagi menghadapi cabaran baki musim ini.

Mujagic, 28, hadir dengan reputasi sebagai penyerang berpengalaman selepas mencatat lebih 100 penampilan kompetitif di peringkat kelab sepanjang karier profesionalnya, termasuk di liga utama Bosnia & Herzegovina, dengan rekod melebihi 30 jaringan dalam semua kejohanan.

Penyerang berketinggian hampir 1.90 meter itu sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab di Bosnia & Herzegovina termasuk FK Sloboda Tuzla, FK Tuzla City dan NK GOSK Gabela, selain pernah beraksi di Liga Malaysia bersama Sabah FC, sekali gus tidak asing dengan corak permainan tempatan.

Pengalaman singkat bersama Sabah itu dilihat memberi kelebihan kepada Mujagic untuk menyesuaikan diri lebih pantas bersama JDT, terutama dari segi intensiti perlawanan dan tuntutan fizikal Liga Super.

Prestasi konsisten serta pengalaman luas itu menjadi faktor utama JDT membawa masuk Mujagic bagi menambah variasi di bahagian serangan, khususnya dalam perlawanan berintensiti tinggi dan situasi bola mati.

Dalam satu kenyataan rasmi, JDT memaklumkan kemasukan Mujagic yang dikongsikan Johor Southern Tigers di media sosial, Facebook.

“Ajdin Mujagic sudah berada di sini (JDT),” menurut kenyataan ringkas kelab berkenaan.

Kehadiran Mujagic sekali lagi mencerminkan kesungguhan JDT dalam memilih pemain import berkualiti tinggi bagi meneruskan dominasi di pentas domestik, selain bersedia menghadapi cabaran di peringkat Asia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top