Tangisan Messi iringi kebangkitan Argentina

Tangisan Messi iringi kebangkitan Argentina

Atlanta: Lionel Messi menitiskan air mata sejurus wisel penamat ditiup ketika Argentina bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Mesir 3-2 pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia, awal pagi tadi.

Kapten Argentina itu jelas menyedari betapa hampir impiannya untuk menjulang satu lagi trofi Piala Dunia berakhir selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum muncul penyelamat dengan gol penyamaan penting pada penghujung permainan.

Argentina ketinggalan 2-0 dengan baki lebih 10 minit permainan di Stadium Atlanta sebelum mempamerkan kebangkitan dramatik yang akan terus dikenang penyokong.

Perlawanan bermula dengan Messi kelihatan tenang walaupun tekanan cukup tinggi, namun sentuhan pertamanya tersasar dan Argentina buat kali pertama ketinggalan dalam kempen Piala Dunia kali ini apabila Mesir membuka jaringan.

Juara bertahan itu berpeluang menyamakan kedudukan enam minit kemudian menerusi sepakan penalti, namun percubaan Messi berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.

Kegagalan itu menyaksikan pemain berusia 39 tahun berkenaan menjadi pemain pertama yang terlepas dua sepakan penalti dalam satu edisi Piala Dunia, tidak termasuk penentuan penalti.

Prestasi Messi pada babak pertama jauh daripada tahap biasanya apabila dia turut menyaksikan sepakan percumanya terkena tiang dan bergelut menembusi benteng pertahanan Mesir yang berdisiplin.

Mesir hampir menambah derita Argentina apabila jaringan Mostafa Zico dibatalkan sebelum penyerang itu akhirnya meledak gol kedua pasukannya.

Namun gol Cristian Romero menghidupkan semula harapan Argentina sebelum Messi menyuntik keyakinan dengan gol penyamaan.

Situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti menyaksikan hantaran Julian Alvarez disambar Messi menerusi voli yang gagal ditepis kemas penjaga gol Mesir.

Messi meraikan jaringan itu dengan penuh emosi sambil melompat dan mengepal penumbuk, tanda momentum kini memihak kepada Argentina.

“Leo terus membuktikan mengapa dia seorang legenda hebat dan kami gembira dapat berjuang bersamanya,” kata Alvarez.

Argentina sebelum ini turut dipaksa bekerja keras oleh Cape Verde pada pusingan 32 terbaik apabila hanya menang menerusi gol sendiri lawan dalam masa tambahan.

Mesir memberikan tentangan lebih sengit dan hampir mencipta kejutan besar, namun pengalaman serta sentuhan Messi memastikan juara dunia itu terus bernyawa untuk mempertahankan gelaran dengan aksi suku akhir menentang Switzerland atau Colombia, Sabtu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top