sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Bekas pemain kebangsaan Cameroon, Ngweni Ndasi dijangka menjadi ‘kereta kebal’ Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027.
Pertahanan berusia 32 tahun itu yang pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan negaranya pada 2015 dikhabarkan akan diperkenalkan secara rasmi oleh kelab itu dalam masa terdekat terutama kempen Liga Super hanya berbaki sebulan sahaja lagi.
Menurut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), pertahanan kental berketinggian 1.85 meter itu sudah pun berada di bumi Terengganu dan kini dalam proses dokumentasi sebelum diperkenalkan secara rasmi.
“Pemain itu berada dalam perancangan barisan kejurulatihan dan kini hanya menunggu masa untuk diperkenalkan secara rasmi oleh kelab itu jika semua proses dokumentasi selesai dalam masa terdekat.
“Lagipun bekas pertahanan kebangsaan Cameroon itu sudah pun tiba di Kuala Terengganu, namun semuanya bergantung kepada proses penilaian akhir,” jelas sumber itu.
Mengulas lanjut, sumber itu berkata, kehadiran pemain yang pernah menyarung jersi sembilan kelab yang berbeza itu pastinya ditagih pasukan kerana pengalaman luasnya.
“Berdasarkan rekod pencapaian sebelum ini, dia mempunyai karakter sebagai pemain pertahanan terakhir yang baik dan berkualiti.
“Jika perkara itu menjadi kenyataan, pastinya posisi pertahanan tengah bakal menjadi milik pemain yang sebelum ini beraksi bersama kelab Iraq, Al Talaba FC,” kata sumber itu.
Terdahulu kelab itu dikatakan mahu mengekalkan pertahanan import musim 2025/2026 kelahiran Brazil, Diego Landis, namun pemain tinggi lampai itu memilih kelab Indonesia, Arema FC musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




