PRN N9: MCMC aktifkan Pusat Pemantauan Rangkaian

PRN N9: MCMC aktifkan Pusat Pemantauan Rangkaian

Seremban: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengaktifkan Pusat Pemantauan Rangkaian bagi menerima dan menyelaras aduan berkaitan perkhidmatan komunikasi dan multimedia sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan orang ramai boleh mengemukakan aduan berkaitan liputan rangkaian mudah alih dan internet, kualiti perkhidmatan telekomunikasi, gangguan perkhidmatan serta kandungan dalam talian yang melibatkan isu 3R, iaitu agama, kaum dan institusi diraja.

Menurut kenyataan itu, pusat pemantauan berkenaan turut menerima aduan berkaitan perkara lain yang berada di bawah bidang kuasa suruhanjaya berkenaan.

Orang ramai boleh menghubungi pusat itu menerusi talian 06-4794907 atau 06-4794912 untuk menyalurkan aduan dan maklum balas. Aduan juga boleh dikemukakan melalui e-mel di nsso.rcu@mcmc.gov.my,, Portal Aduan MCMC atau borang Google yang disediakan.

MCMC berkata maklum balas daripada orang ramai amat dihargai bagi membantu suruhanjaya itu memastikan perkhidmatan komunikasi dan multimedia sentiasa berada pada tahap terbaik sepanjang tempoh PRN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan Ke-16 pada 28 Julai ini, manakala hari mengundi ditetapkan pada 1 Ogos.

Orang ramai boleh mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan Ke-16 di https://prn.bernama.com/n9.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top