Bekas suami terkejut, Lufya Omar tuntut mutaah RM1 Juta

Bekas suami terkejut, Lufya Omar tuntut mutaah RM1 Juta

Bekas suami pelakon Lufya Omar iaitu Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum meluahkan rasa terkejut sebaik sahaja menerima notis tuntutan mutaah RM1 juta daripada aktres berusia 38 tahun itu.

Memetik laporan Gempak!, Dr Che Hafiz akui terkejut dengan notis tuntutan dikemukan oleh bekas isterinya walaupun sudah tiga tahun mereka bercerai.

“Ya, saya memang terkejut,”ujarnya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Khamis.

Meskipun Dr Hafiz terkejut dengan tuntutan yang dikemukan oleh bekas isterinya, namun dia tetap berharap agar semua urusan dipermudahkan.

“Memang saya terkejut, apa-apa pun kita doakan yang terbaik. Semoga urusan semua pihak dipermudahkan,” kata Dr Hafiz.

Bagaimanapun, Dr Hafiz enggan mengulas lebih lanjut berhubung tuntutan yang dibuat oleh bekas isterinya pada Oktober tahun lalu. Ini kerana dia mahu menghormati isterinya, Julia Farhana yang turut hadir menemaninya di mahkamah.

“Saya nak minta maaf, perkara ini privasi kami dan saya tak nak beri apa-apa kenyataan buat masa ini sebab menghormati isteri saya,”ujarnya.

Peguam yang mewakili Dr Hafiz iaitu Abdul Hadi Mohamad Salleh mengesahkan jumlah tuntutan mutaah daripada pihak plantif iaitu Lufya berjumlah RM1 juta.

Jelasnya, mutaah adalah saguhati daripada bekas suami kepada bekas isteri selepas mereka bercerai. Oleh itu, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar membuat tuntutan pada Oktober 2022.

“Sebelum ini, mereka sudah menjalani proses sulh (perjanjian), namun tidak mencapai kata sepakat. Kalau ikutkan, betul ia jumlah yang dituntut oleh pihak plantif.
“Namun semuanya masih dalam proses perbincangan dan mahkamah yang akan menentukan mengikut syarat-syarat tertentu,”ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Lufya yang turut hadir ditemani peguam kelihatan sugul dan cuba mengelakkan diri daripada bertemu pihak media.

Sekadar info, Lufya dan Dr Hafiz mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Laana Haura, 5.

Bagaimanapun, mereka berdua membuat keputusan untuk berpisah dan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam pada 17 Jun 2020.

Selepas tiga tahun bergelar duda, Dr Hafiz akhirnya berkahwin dengan pelakon Julia Farhana pada 14 Disember 2022.

Sumber: Astro Gempak (Asyikin Mayudin)