PENINGKATAN kos sara hidup yang terus menghimpit menyebabkan ramai rakyat terpaksa lebih berhemah dalam menguruskan kewangan bagi memastikan keperluan asas harian seperti makanan, pengangkutan dan bil utiliti dapat dipenuhi.
Walaupun masih mempunyai pekerjaan tetap, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan memberi tekanan kepada pendapatan isi rumah, sekali gus mengehadkan kemampuan untuk berbelanja di luar keperluan.
Bagi Ahmad Ibrahim Azam, gaji yang diterima ketika ini hanya mencukupi untuk menampung keperluan asas harian seperti makanan, barangan keperluan rumah dan kos pengangkutan ke tempat kerja.
Katanya, dia masih bernasib baik kerana menetap bersama keluarga, sekali gus tidak perlu menanggung kos sewa rumah yang semakin tinggi.
“Walaupun gaji saya mencukupi untuk perbelanjaan asas, baki yang tinggal setiap bulan terlalu sedikit untuk disimpan secara konsisten bagi simpanan jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Ahmad Ibrahim, kenaikan gaji yang diterima dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak seiring dengan peningkatan harga barang dan perkhidmatan.
Katanya, walaupun terdapat sedikit kenaikan gaji atau elaun tahunan, peningkatan itu masih terlalu kecil berbanding kenaikan kos makanan, pengangkutan dan pelbagai perkhidmatan, khususnya di kawasan bandar.
“Akibatnya, kuasa beli semakin berkurangan walaupun masih mempunyai pekerjaan tetap,” ujarnya.
Mengulas cabaran kewangan, dia berkata, kesukaran terbesar ialah menyediakan dana kecemasan dan simpanan untuk masa depan kerana baki pendapatan bulanan terlalu terhad.
“Ramai golongan muda kini terpaksa melakukan pekerjaan sampingan bagi menambah simpanan untuk keperluan seperti perkahwinan, pelaburan atau menghadapi kecemasan,” katanya.
Damia Batrisya Hidayatullah pula berkata, pendapatan yang diterimanya ketika ini hanya mencukupi untuk menampung keperluan asas, namun masih belum memadai untuk membina simpanan jangka panjang.
Menurutnya, gaji bulanan digunakan bagi menampung perbelanjaan makanan, barangan keperluan rumah dan kos pengangkutan ke tempat kerja.
“Walaupun gaji yang diterima mencukupi untuk keperluan asas, baki yang tinggal setiap bulan terlalu sedikit untuk disimpan secara konsisten bagi tujuan simpanan jangka panjang,” katanya.
Penjawat awam, Hafizah Badri berkata, isu paling besar kini adalah mengimbangi komitmen bulanan dengan keperluan menyediakan simpanan masa depan.
Katanya, sebarang kejadian tidak dijangka seperti masalah kesihatan ahli keluarga atau kerosakan kenderaan boleh memberi tekanan besar terhadap kedudukan kewangan isi rumah.
“Pada masa sama, ibu bapa juga perlu memikirkan dana pendidikan anak-anak yang dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.
Dia bersetuju produktiviti pekerja wajar dijadikan antara asas penentuan kenaikan gaji, namun pelaksanaannya perlu dibuat secara adil dan mengambil kira kos sara hidup semasa.
“Selain itu, kerajaan perlu mewujudkan dasar gaji yang adil serta memastikan persekitaran ekonomi yang kondusif, manakala majikan perlu menawarkan pakej gaji yang kompetitif dan menghargai sumbangan pekerja.
Dalam pada itu, Norazhar Zainal Abidin berkata, sistem gaji di Malaysia dapat diperkasakan dengan memastikan kenaikan gaji dilaksanakan secara lebih konsisten tanpa didahului oleh peningkatan harga barang dan perkhidmatan. – UTUSAN




