Bekas tentera 16 anak kayuh basikal ke Makkah sekali lagi

Bekas tentera 16 anak kayuh basikal ke Makkah sekali lagi

am@hmetro.com.my

Temerloh: Memiliki 16 cahaya mata tidak menghalang seorang bekas anggota tentera meneruskan misi mengayuh basikal secara solo ke Makkah buat kali kedua demi merealisasikan impian dan kecintaannya terhadap pengembaraan.

Sidek Ahmad Ali, 68, dari Sungai Rambai, Melaka berkata, beliau memulakan kayuhan terbaharu itu tiga hari lalu.

Menurutnya, perjalanan kali ini adalah kesinambungan kejayaannya menamatkan ekspedisi kayuhan solo ke Makkahsebelum ini apabila tiba di destinasi berkenaan pada 24 Januari 2025.

“Saya pernah berjaya kayuh ke Makkah secara solo dan kali ini saya mahu lakukannya sekali lagi. Insya-Allah sasaran saya tiba di sana pada Oktober nanti,” katanya ketika ditemui di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (Masjid Taman Temerloh Jaya, hari ini.

Bekas anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu berkata, beliau menggunakan basikal bernilai kira-kira RM4,000 yang dibeli sendiri dengan sedikit sokongan daripada pihak penjual.

Katanya, beliau mengayuh kira-kira 50 kilometer sehari di Malaysia sebelum memasuki Thailand.

Menurutnya, sepanjang ekspedisi terdahulu, cabaran paling sukar dilalui adalah ketika berada di India berikutan faktor keselamatan selain pernah berdepan ribut pasir ketika merentasi laluan padang pasir menuju ke Madinah dan Makkah.

“Di India agak mencabar kerana saya tidak dibenarkan bermalam di masjid atau rumah penduduk. Selain itu, saya juga pernah berdepan ribut pasir ketika menghampiri Tanah Suci,” katanya.

Sidek berkata, pengalaman menjelajah Semenanjung Malaysia dengan basikal sebanyak 13 kali dan mengumpul lebih 50,000 kilometer kayuhan menjadi bekalan berharga sebelum meneruskan misi ke Makkah.

Menurutnya, jarak perjalanan dari Melaka ke Makkah dianggarkan antara 7,000 hingga 9,000 kilometer bergantung kepada laluan yang dipilih.

Katanya, beliau memilih untuk bermalam di masjid atau surau sepanjang berada di Malaysia, manakala di luar negara akan menyesuaikan perjalanan mengikut keadaan dan kemudahan yang ada.

Bapa kepada lapan anak lelaki dan lapan anak perempuan itu berkata, selain menjaga kecergasan melalui latihan kayuhan sekurang-kurangnya 30 kilometer sehari, semangat dan ketabahan menjadi kunci utama untuk menamatkan ekspedisi berkenaan.

“Saya sudah biasa berkayuh dan bagi saya, mengembara dengan basikal memberi satu kepuasan serta pengalaman yang berbeza berbanding menggunakan kenderaan lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top