Los Angeles: Penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois percaya peluang pasukannya untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia 2026 banyak bergantung kepada kemampuan menyekat pengaruh bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal.
Penjaga gol Real Madrid itu mengakui Sepanyol turun sebagai pilihan dalam aksi suku akhir, namun percaya terdapat cara untuk mengehadkan ancaman pemain sensasi Barcelona berusia 18 tahun itu.
Menurut Courtois, keutamaan Belgium adalah memastikan Yamal tidak mempunyai ruang untuk bergerak bebas serta memaksanya berdepan situasi sukar sepanjang perlawanan.
“Lamine seorang bintang. Dia memiliki bakat luar biasa, sangat pantas dan amat sukar dihentikan. Pendekatan terbaik ialah berada rapat dengannya dan cuba mewujudkan situasi dua lawan satu apabila ada peluang,” katanya.
Namun, Courtois mengingatkan bahawa Belgium tidak boleh terlalu memberi tumpuan kepada Yamal semata-mata.
“Kami tidak boleh hanya memikirkan Lamine kerana Sepanyol mempunyai begitu banyak kekuatan. Jika anda hanya cuba menghentikan seorang pemain, mereka akan menghukum anda di bahagian lain.”
Beliau turut memuji skuad bimbingan Luis de la Fuente yang disifatkannya sebagai antara pasukan paling mantap dalam kejohanan.
“Sepanyol memang pasukan pilihan. Apabila anda bergelar juara Eropah, sudah tentu anda dianggap antara calon utama. Sebelum kejohanan bermula saya melihat Sepanyol, Argentina dan Perancis sebagai pencabar utama, dan mereka sedang membuktikannya.”
Courtois turut memuji kekuatan benteng pertahanan Sepanyol yang masih belum dibolosi sepanjang kejohanan.
“Mereka bermain dengan sangat baik, mengawal tempo permainan dengan tenang dan masih belum melepaskan sebarang gol. Itu menunjukkan keyakinan tinggi seluruh pasukan serta kualiti penjaga gol mereka, Unai Simón.”
Beliau percaya peluang terbaik Belgium adalah mengeksploitasi ruang yang ditinggalkan Sepanyol apabila mereka melakukan tekanan tinggi di kawasan lawan.
“Mereka bertahan dengan garisan yang sangat tinggi dan cuba merampas semula bola secepat mungkin. Kami perlu mencari ruang di belakang mereka kerana corak permainan kami berbeza.”
Courtois turut mengakui perlawanan itu mempunyai makna istimewa buat dirinya kerana mempunyai hubungan rapat dengan bola sepak Sepanyol selepas pernah mewakili Atlético Madrid dan kini bersama Real Madrid.
Belgium kini berusaha mencipta kejutan dengan menewaskan antara pasukan pilihan kejohanan itu untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Dunia 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




