razis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) menyokong penuh arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperketatkan kawalan keselamatan di sekolah, termasuk di pintu pagar, kawasan kantin serta pengawasan terhadap setiap aktiviti murid.
Presidennya, Mohamad Zapawi Mamat berkata, langkah proaktif diperkenalkan KPM itu amat bertepatan dengan keperluan semasa bagi memastikan institusi pendidikan terus menjadi persekitaran yang selamat, kondusif dan sejahtera kepada semua.
Beliau berkata, arahan memperketatkan kawalan di pintu pagar, menempatkan guru bertugas semasa waktu hadir dan pulang, meningkatkan pemantauan di kantin dan melarang aktiviti tanpa pengawasan guru adalah langkah penting untuk mencegah sebarang insiden yang boleh mengancam keselamatan murid.
“Kawalan di pintu pagar bukan saja dapat mengawal pergerakan keluar masuk pelawat, malah mengurangkan risiko pencerobohan, kehilangan murid serta kejadian tidak diingini membabitkan individu luar.
“Pada masa sama, kehadiran guru di pintu pagar membolehkan murid disambut dan dihantar pulang dalam keadaan selamat selain membantu mengawal kesesakan lalu lintas di kawasan sekolah,” katanya.
Mohamad Zapawi berkata, aspek keselamatan di kawasan kantin juga perlu diberi perhatian kerana waktu rehat adalah tempoh murid berkumpul dalam jumlah yang ramai.
“Pemantauan berterusan di kantin mampu mengelakkan insiden pergaduhan, buli, kecederaan dan masalah disiplin, selain memastikan murid mematuhi peraturan keselamatan serta mengamalkan kebersihan,” katanya.
Beliau berpandangan bahawa larangan menjalankan aktiviti tanpa pengawasan guru adalah langkah wajar bagi mengelakkan kemalangan ketika aktiviti sukan, kokurikulum, amali makmal, penggunaan peralatan dan pergerakan murid di sekitar sekolah.
“Setiap aktiviti murid perlu dipantau secara langsung oleh guru yang bertanggungjawab bagi menjamin keselamatan dan kebajikan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya setiap sekolah memperkasakan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan, melaksanakan rondaan berkala di kawasan berisiko serta mengadakan latihan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
“Kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa, komuniti setempat, polis dan agensi berkaitan juga perlu diperkukuhkan bagi mewujudkan budaya keselamatan yang menjadi tanggungjawab bersama seluruh warga sekolah.
“KONGRES percaya usaha memperkukuh keselamatan sekolah bukan sekadar memenuhi arahan, sebaliknya langkah penting dalam melindungi kesejahteraan dan masa depan anak-anak negara serta kebajikan guru. Persekitaran sekolah yang selamat akan membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan lebih berkesan, selain memberi ketenangan kepada ibu bapa dan warga pendidik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




