KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menafikan dakwaan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low memasuki Malaysia bersama delegasi dari China tahun lepas untuk mengadakan rundingan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya menafikan tuduhan tersebut,” katanya secara ringkas pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar).
Terdahulu, Syed Saddiq memetik laporan media bahawa Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho, didakwa menghadiri mesyuarat rahsia di negara ini pada hujung tahun lepas bagi mengadakan rundingan berkaitan pakej pembayaran semula 1MDB yang melibatkan Kementerian Kewangan (MOF).
Menjawab soalan asal Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai hutang 1MDB dan usaha mendapatkan dana yang telah diseleweng, Liew berkata kerajaan terus mempergiat usaha mendapatkan aset 1MDB, termasuk melalui pendakwaan jenayah dan sivil terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi pada 26 Dis 2025 menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion terhadap Najib selepas didapati bersalah atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berkaitan 1MDB.
Beliau berkata, saman sivil terhadap Datin Seri Rosmah Mansor pula bertujuan mendapatkan kembali AS$380 juta (kira-kira RM1.56 bilion) ganti rugi berhubung dana 1MDB yang digunakan untuk membeli barangan mewah termasuk beg tangan dan barangan kemas.
“Ketiga, pendakwaan jenayah dan sivil terhadap Jho Low yang menjadi dalang utama penyelewangan 1MDB, dengan nilai tuntutan sivil bernilai AS$3.78 bilion (kira-kira RM15.4 bilion),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan menganggarkan skandal 1MDB telah mengakibatkan empat bentuk kerugian utama kepada negara, iaitu kerugian kewangan, kos peluang, kerugian yang sukar dipulihkan serta kesan terhadap reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, Chin Tong berkata, setakat 30 Jun lepas kerajaan telah membayar RM42.5 bilion hutang dan komitmen 1MDB termasuk bayaran prinsipal, faedah, kos guaman dan operasi, serta komitmen lain.
Di samping itu, beliau berkata, kerajaan masih bertanggungjawab menanggung Nota Jangka Sederhana Islam (Sukuk Islamic Medium Term Notes) berjumlah RM8.9 bilion yang matang pada 2039, meliputi bayaran prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion
“Ini bermakna, secara keseluruhan, tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak RM51.4 bilion,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan telah berjaya mendapatkan semula dana sebanyak RM31.3 bilion, manakala baki obligasi RM20.1 bilion terpaksa ditanggung kerajaan jika tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan.- Bernama



