Belum ada tangkapan individu seberang sempadan melalui pangkalan haram

Belum ada tangkapan individu seberang sempadan melalui pangkalan haram

am@hmetro.com.my

Tumpat: Belum ada sebarang tangkapan susulan penguatkuasaan undang-undang menahan individu menggunakan pangkalan haram menyeberangi sempadan negara dan Thailand di sepanjang Sungai Golok yang berkuat kuasa hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ini kerana situasi banjir masih berlaku menyebabkan pangkalan haram turut tenggelam.

“Fokus kita adalah pangkalan haram dan buat masa sekarang, pangkalan haram tidak nampak kerana banjir dan dari pemantauan kami, hanya ada bot pancung sahaja yang keluar masuk di Sungai Golok kononnya untuk hantar bantuan banjir.

“Bagaimanapun pemantauan di sempadan tetap dibuat kerana menganggap musim banjir menjadi akses mudah untuk penyeludup keluar masuk tanpa memikirkan risiko,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau sebelum ini berkata, mereka yang melakukan kesalahan dengan menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).

Beliau terdahulu hadir di Surau Ar Rasyidin di IPD Tumpat yang dijadikan PPS dan menempatkan seramai 195 mangsa membabitkan 83 keluarga.

Dalam perkembangan lain, lebih 500 kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh Kelantan termasuk keluarga yang terjejas banjir dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Mohd Yusoff berkata, meskipun terkesan banjir, misi penugasan termasuk operasi pemindahan mangsa banjir tetap dijalankan oleh anggota serta pegawai bertugas.

“Dalam konteks operasi, walau terkesan dengan banjir, anggota tetap bertugas dan dikerahkan untuk operasi manakala famili dipindahkan ke PPS.

“Selain terbabit dengan operasi memindahkan mangsa, anggota di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang terkesan banjir turut dikerahkan menjalankan rondaan cegah jenayah.

“Setakat ini sebanyak 10 balai polis di Kelantan terjejas banjir iaitu enam di Pasir Mas, Tumpat serta Kota Bharu dengan masing-masing dua balai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top