mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Isu hangat melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya nampaknya semakin menuju ke titik penyelesaian apabila bendera Malaysia kembali dipaparkan di laman web Transfermarkt selepas sebelum ini digugurkan susulan hukuman FIFA terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Malaysia sebelum ini dikejutkan dengan keputusan FIFA pada 26 September lalu yang menjatuhkan hukuman denda kira-kira RM1.8 juta ke atas FAM serta RM10,560 kepada setiap pemain warisan selepas didakwa terbabit dalam isu pemalsuan dokumen kelayakan untuk mewakili pasukan kebangsaan.
Namun, kemas kini terbaharu di laman pangkalan data bola sepak antarabangsa Transfermarkt menunjukkan bendera Malaysia kembali tertera pada profil tujuh pemain itu sekali gus petanda positif bahawa rayuan rasmi FAM mungkin mula menunjukkan perkembangan baik.
Sebelum ini, semua pemain terbabit hanya dipaparkan dengan status “tidak diketahui” tanpa sebarang bendera, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status kelayakan mereka.
Difahamkan, FAM sudah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA, dengan menjelaskan bahawa isu tersebut berpunca daripada kesilapan teknikal ketika memuat naik dokumen asal pemain-pemain warisan berkenaan.
Ketika ini, rayuan berkenaan masih dalam proses penilaian oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA dan keputusan rasmi dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Penyokong tempatan menganggap perkembangan di Transfermarkt itu sebagai sinar baharu buat skuad Harimau Malaya yang sebelum ini terpalit kontroversi menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
© New Straits Times Press (M) Bhd




