Bendung dengan kerangka perundangan Islam

Bendung dengan kerangka perundangan Islam

Buli siber adalah antara isu yang semakin mendapat perhatian dalam masyarakat moden hari ini. Walaupun perbuatan itu berlaku di alam maya, kesannya ke atas mangsa adalah nyata dan sering kali membawa kepada akibat yang amat serius termasuk tekanan emosi bahkan kes kematian.

Dalam konteks undang-undang, buli siber belum menerima perhatian khusus di Malaysia dengan hanya beberapa peruntukan undang-undang sedia ada yang boleh diguna pakai untuk mengekang perbuatan ini.

Penulisan ini bertujuan membincangkan fenomena buli siber dalam kerangka perundangan Islam serta bagaimana hukum-hakam syariah boleh diguna pakai untuk menangani isu berkenaan.

Definisi buli siber pada pandangan Islam

Menurut perspektif Islam, segala bentuk buli termasuk di alam siber dilarang kerana melibatkan perbuatan menyakiti, menghina atau menzalimi orang lain.

Al-Quran dengan jelas melarang perbuatan yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada orang lain. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (di antara kamu) memperolok-olokkan puak yang lain (kerana) mungkin puak yang diolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka.”

Ayat ini memberikan larangan yang jelas terhadap segala bentuk penghinaan atau ejekan termasuk dalam konteks buli siber. Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya agar tidak melakukan perbuatan yang menyakiti orang lain seperti dinyatakan dalam sebuah hadis: “Seorang Muslim adalah seseorang yang orang lain selamat daripada gangguan lisan dan tangannya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Prinsip perundangan Islam menangani buli siber

Perundangan Islam berasaskan kepada Maqasid Syariah iaitu tujuan syariah untuk memelihara lima perkara utama yakni agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

Buli siber jelas melanggar prinsip ini, khususnya dalam aspek pemeliharaan nyawa dan akal kerana boleh menyebabkan tekanan mental yang serius. Malah, dalam beberapa kes, buli siber membawa kepada kematian akibat bunuh diri. Oleh itu, tindakan buli siber boleh dikategorikan sebagai perbuatan yang memudaratkan, wajib dicegah serta dihukum.

Dalam konteks undang-undang jenayah Islam, buli siber boleh dikategorikan sebagai satu bentuk jenayah memerlukan hukuman takzir.

Hukuman takzir merujuk kepada hukuman ditetapkan oleh pihak berkuasa berdasarkan keseriusan kesalahan dan kemudaratan yang diakibatkan kepada mangsa.

Jenayah seperti fitnah (qazaf) dan penghinaan (sabb)

boleh dikenakan hukuman takzir apabila hukuman itu bergantung kepada budi bicara hakim.

Oleh itu, perbuatan buli siber yang melibatkan fitnah dan penghinaan juga boleh dikenakan hukuman serupa. Hukuman ini bertujuan memberikan keadilan kepada mangsa dan menjadi pengajaran kepada pelaku agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Selain itu, buli siber juga boleh dikaitkan dengan konsep diyat atau pampasan bagi mangsa. Dalam kes mangsa mengalami kemudaratan emosi atau mental yang serius akibat buli siber, perundangan Islam membenarkan pembayaran pampasan kepada mangsa sebagai satu bentuk keadilan.

Ini bertujuan memulihkan keadaan mangsa dan memberikan penebusan bagi kesalahan dilakukan oleh pelaku.

Pampasan ini bukan sahaja boleh berbentuk wang, tetapi juga merangkumi permohonan maaf secara terbuka dan sokongan psikologi untuk mangsa. Menerusi cara ini, mangsa boleh berasa dihargai dan diberi perhatian dalam usaha pemulihan mereka.

Tanggungjawab kolektif mencegah buli siber

Prinsip amar makruf nahi mungkar (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) adalah asas penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan bebas daripada sebarang bentuk penindasan.

Dalam konteks buli siber, setiap individu dalam masyarakat ada tanggungjawab untuk menegur dan melaporkan perbuatan buli siber apabila melihatnya berlaku.

Perbuatan ini tidak wajar dibiarkan begitu sahaja kerana ia boleh memberi kesan yang berpanjangan kepada mangsa dan masyarakat secara keseluruhannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini menekankan setiap individu bertanggungjawab untuk mencegah kemungkaran mengikut kemampuan masing-masing termasuk buli siber.

Dalam konteks semasa, pencegahan buli siber boleh dilakukan dengan pelbagai cara termasuk melaporkan perbuatan itu kepada pihak berkuasa, memberi sokongan moral kepada mangsa serta mendidik orang ramai mengenai bahaya dan akibat buli siber.

Pendidikan dan kesedaran adalah elemen penting dalam usaha mencegah perbuatan ini daripada terus berlaku.

Keperluan perundangan khusus di Malaysia

Walaupun beberapa peruntukan undang-undang sedia ada di Malaysia seperti Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh digunakan untuk menangani kes buli siber, kekurangan peruntukan khusus menjadikan usaha untuk mendakwa pelaku sebagai sesuatu yang mencabar.

Seperti yang disebut dalam kajian terdahulu, ketiadaan definisi khusus bagi buli siber menyukarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.

Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk menggubal undang-undang yang khusus bagi menangani isu ini dengan lebih efektif.

Dalam konteks ini, perundangan Islam boleh memberikan panduan yang berguna untuk memperkenalkan undang-undang khusus bagi menangani buli siber di Malaysia.

Perundangan itu perlu merangkumi definisi yang jelas mengenai buli siber, jenis hukuman yang boleh dikenakan serta perlindungan sewajarnya kepada mangsa.

Ini adalah selaras dengan prinsip Maqasid Syariah yang menekankan keadilan dan pemeliharaan hak setiap individu. Selain itu, undang-undang ini juga perlu menyediakan mekanisme sokongan kepada mangsa termasuk bantuan psikologi dan perlindungan daripada gangguan selanjutnya.

Sebagai contoh, negara seperti United Kingdom dan Singapura memperkenalkan undang-undang khusus bagi menangani buli siber.

Di United Kingdom, Akta Perlindungan daripada Gangguan 1997 diperkenalkan untuk melindungi individu daripada gangguan dan perbuatan yang menakutkan termasuk di alam maya.

Di Singapura pula, Akta Perlindungan daripada Gangguan 2014 menyediakan peruntukan khusus bagi menangani kes buli siber. Malaysia boleh mengambil inspirasi daripada undang-undang ini dan menyesuaikannya dengan konteks tempatan bagi memastikan mangsa buli siber mendapat keadilan yang sewajarnya.

Muhammad Ilhamuddin pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Governan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Islam Melaka manakala Siti Aisyah Samudin pensyarah kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top