Barcelona: Barcelona muncul kelab La Liga yang memiliki wakil paling ramai di pentas separuh akhir Piala Dunia 2026 apabila seramai 10 pemainnya masih meneruskan cabaran bersama negara masing masing.
Kelab Catalan itu mengatasi pencabar lain di Sepanyol hasil sumbangan pemain yang mewakili Sepanyol, England dan Perancis, sekali gus menyerlahkan kekuatan skuad kendalian Hansi Flick.
Lapan pemain Barcelona membantu Sepanyol mara ke separuh akhir selepas menewaskan Belgium pada suku akhir.
Mereka ialah Joan Garcia, Eric Garcia, Pau Cubarsi, Pedri, Gavi, Dani Olmo, Ferran Torres dan sensasi muda, Lamine Yamal.
Dua lagi wakil Barcelona ialah Marcus Rashford bersama England dan Jules Kounde yang memperkuatkan benteng Perancis, menjadikan jumlah keseluruhan pemain kelab itu di separuh akhir meningkat kepada 10.
Jumlah itu mengatasi semua kelab La Liga lain, sekali gus mengukuhkan reputasi Barcelona sebagai antara kelab yang paling banyak menyumbang pemain bertaraf dunia di pentas antarabangsa.
Sepanyol akan berdepan Perancis pada aksi separuh akhir, manakala England dijadual menentang juara bertahan, Argentina bagi merebut dua tiket ke final Piala Dunia 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd



