Piala Dunia 2026 cetus fenomena cari jodoh

Piala Dunia 2026 cetus fenomena cari jodoh

Piala Dunia 2026 jadi medium cari jodoh

Houston: Kehangatan Piala Dunia 2026 bukan sahaja menyatukan peminat bola sepak dari seluruh dunia, malah turut mencetuskan fenomena baharu apabila semakin ramai individu menggunakan kejohanan itu sebagai peluang mencari pasangan.

Satu tinjauan oleh DatingAdvice.com mendapati 74 peratus individu bujang di Houston dan 70 peratus di Dallas mengakui kehidupan percintaan mereka menjadi lebih aktif sepanjang kejohanan berlangsung.

Houston muncul antara bandar tuan rumah dengan peningkatan aktiviti temu janji kedua tertinggi di Amerika Syarikat selepas menjadi hos kepada tujuh perlawanan Piala Dunia, manakala Dallas turut merekodkan peningkatan ketara.

Kajian itu mendapati ramai penduduk tempatan tertarik untuk mengenali penyokong dari luar negara yang hadir menyaksikan Piala Dunia, dengan minat terhadap bola sepak menjadi antara faktor utama yang merapatkan hubungan.

Seramai 28 peratus responden di Houston dan 29 peratus di Dallas menganggap minat mendalam terhadap bola sepak menjadikan pengunjung Piala Dunia lebih menarik sebagai pasangan berpotensi.

Secara keseluruhan, 76 peratus daripada 1,000 individu bujang yang disoal selidik di 11 bandar tuan rumah Amerika Syarikat percaya Piala Dunia menjadikan bandar mereka lebih menyeronokkan untuk aktiviti temu janji.

Dallas turut berada di tangga keempat dari segi peningkatan jumlah temu janji atau hubungan singkat sepanjang kejohanan berlangsung.

Fenomena itu turut disokong peningkatan penggunaan aplikasi janji temu apabila Tinder merekodkan lonjakan aktiviti sebanyak 47 peratus di 16 bandar tuan rumah di Amerika Utara, manakala lapan daripada 10 pengguna berjaya memperoleh padanan sepanjang kejohanan berlangsung.

Pakar turut berpendapat suasana meriah, kehadiran penyokong antarabangsa serta semangat bola sepak menjadikan Piala Dunia bukan sekadar medan persaingan sukan, malah ruang untuk membina hubungan baharu merentasi budaya dan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top