LONDON: Everton melantik Rafael Benitez sebagai pengendali baharu mereka walaupun peminatnya membantah kelab Liga Perdana Inggeris itu mengambil bekas bos Liverpool itu.
Benitez menandatangani kontrak tiga tahun bersama Everton dan menggantikan Carlo Ancelotti, yang meninggalkan Goodison Park untuk menyertai Real Madrid sejak awal Jun.
Pengendali dari Sepanyol itu adalah orang pertama mengendali kedua-dua kelab Merseyside berkenaan sejak William Edward Barclay pada era 80-an.
“Saya gembira dapat menyertai Everton. Sepanjang proses ini saya kagum dengan wawasan ditunjukkan oleh wakil senior di kelab dan keinginan mereka untuk membawa kejayaan kepada kelab bersejarah ini.
“Saya percaya kelab ini akan pergi jauh. Saya bertekad untuk memainkan peranan besar dalam membantu kelab hebat ini mencapai cita-citanya,” kata Benitez.
Pelantikan Benitez memberi kesan kepada penyokong Everton selepas dia mengatakan The Toffees sebagai “kelab kecil” ketika bersama Liverpool.
Benitez kemudian menjelaskan, kenyataannya ketika pertemuan tetangga Merseyside pada tahun 2007 itu merujuk kepada mentaliti “pasukan kecil” ditunjukkan Everton pada perlawanan berkenaan.
Isnin lalu, Polis Merseyside mengesahkan mereka sedang menyiasat kain rentang berbentuk ancaman dengan tulisan “Kami tahu di mana anda tinggal. Jangan tandatangan” tergantung berhampiran kediaman Benitez di Caldy.
Pemegang saham terbesar Everton, Farhad Moshiri bagaimanapun tidak mengendahkan bantahan penyokong dan tetap melantik Benitez, yang memenangi Liga Juara-Juara serta Piala FA 2005 dan 2006 sepanjang enam tahun di Liverpool.
“Kami melantik Rafa kerana kami percaya dia akan memberikan kejayaan kepada kelab dan peminat Everton,” kata Moshiri. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




