Benitez puas hati aksi Everton biarpun tewas

BIARPUN tewas 0-3 kepada Aston Villa, namun pengendali Everton, Rafa Benitez tetap berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pemain The Toffees pada perlawanan berkenaan.

Bagaimanapun menurut Benitez, skuad kendaliannya itu dilihat banyak melakukan kesilapan selain gagal mengekang serangan-serangan balas daripada pemain Aston Villa terutamanya pada separuh masa kedua.

“Secara keseluruhannya, kita telah bermula dengan baik dan kita juga berjaya melancarkan asakan-asakan ke pintu gol lawan.

“Bagaimanapun, jentera serangan pasukan kita dilihat gagal melakukan tindakan penyudah yang baik dan menyaksikan tiada jaringan yang berjaya dihasilkan.

“Selain itu, biarpun berjaya memberikan saingan kepada lawan, pemain juga dilihat banyak melakukan kesilapan pada perlawanan berkenaan,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan Aston Villa menjaringkan gol menerusi Matty Cash pada minit ke-66, gol sendiri daripada Lucas Digne (min-69) dan Leon Bailey (min-75).

Sementara itu, Benitez mengakui ketiadaan tiga pemain tonggak seperti Jordan Pickford, Richarlison dan Seamus Coleman turut menjadi antara faktor kekalahan Everton kali ini.

Katanya, ketiadaan ketiga-tiga pemain berkenaan yang mengalami kecederaan ternyata memberikan kesan kepada aksi The Toffees pada perlawanan berkenaan.

“Ketiadaan ketiga-tiga pemain ini dilihat memberikan kesan kepada pasukan; namun kita dimaklumkan bahawa mereka memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk pulih,” katanya.