Messi berang dikeluarkan, enggan salam Pochettino

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

LIONEL Messi tidak berpuas hati dan enggan bersalam dengan pengendali Paris Saint Germain (PSG), Mauricio Pochettino selepas dia dikeluarkan ketika kemenangan 2-1 ke atas Lyon dalam aksi Ligue 1 di Le Parc des Princes pada awal pagi Isnin.

Pemenang enam kali Ballon d’Or itu dikeluarkan 15 minit sebelum perlawanan tamat dan dilihat seolah-olah mempertikaikan keputusan yang dibuat Pochettino itu.

Bagaimanapun, Pochettino mempertahankan tindakannya itu dan menegaskan tugasnya sebagai pengendali pasukan memikirkan sebarang pertukaran dalam setiap perlawanan.

“Semua orang tahu kami memiliki ramai pemain hebat dalam pasukan. Kami ada 35 pemain yang berkualiti. Sebab itu, saya perlu membuat keputusan dengan 11 pemain yang akan memulakan perlawanan dan selepas itu perlu membuat keputusan ketika perlawanan berlangsung.

“Kadang-kadang keputusan yang dibuat itu berbaloi dan ada juga sebaliknya. Tetapi, itulah sebabnya kami berdiri di depan bangku simpanan dan fikir apa yang perlu dibuat. Itulah keputusan yang anda perlu buat sama ada perkara akan menjadi betul atau tidak, sama ada anda suka atau tidak,” katanya.

Messi yang melakukan debutnya dalam perlawanan itu tampil cemerlang pada separuh masa pertama dan hampir menjaringkan gol menerusi beberapa percubaan dan tendangan percumanya yang terkena tiang gol.

Namun, persembahannya sedikit menurun pada separuh masa kedua menyebabkan Pochettino mengambil keputusan untuk menukarkannya pada minit ke-75 dan memasukkan Achraf Hakimi.

Dalam perlawanan itu, PSG terlebih dahulu ketinggalan menerusi gol Lucas Paqueta pada minit ke-54 sebelum disamakan oleh Neymar dan jaringan kemenangan disumbangkan oleh Mauro Icardi di penghujung babak kedua.

Disebalik kontroversi dengan Messi itu, pengendali kelahiran Argentina tersebut memuji keupayaan para pemainnya merekodkan kemenangan tersebut.

“Ia sesuatu yang positif buat kami. Selepas perlawanan sukar menentang Club Brugge (aksi Liga Juara-Juara), kembali mencatatkan kemenangan adalah sangat penting.

“Lyon merupakan pasukan yang bagus dengan pemain yang berkualiti. mereka juga bermain bagus pada separuh masa pertama. Selepas bolos gol pertama, kami perlu menunjukkan karakter dan kami berjaya mencari gol penyamaan dan kemenangan,” katanya.