Benua Afrika tetap menang hati peminat

Benua Afrika tetap menang hati peminat

Atlanta: Harapan Afrika di Piala Dunia berakhir selepas Maghribi tersingkir, semalam, namun benua itu tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka pada edisi 2026 walaupun tiada pasukan berjaya mara ke kelompok empat terbaik.

Benua Afrika menyaksikan sembilan daripada 10 wakil mereka melepasi peringkat kumpulan, turut meraikan bersama komuniti bola sepak dunia mengenai kejayaan luar biasa pasukan kerdil, Cape Verde yang hampir mencipta kejutan lebih besar.

Pada Piala Dunia di Qatar empat tahun lalu, Maghribi mencipta sejarah sebagai pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir, namun dalam format 48 pasukan di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat, mereka tersingkir pada suku akhir yang mana tewas kepada Perancis dalam kedua-dua kejohanan itu.

Pasukan Afrika Utara itu sememangnya dijangka menjadi antara pencabar utama, terutama selepas hampir mengejutkan Brazil dalam aksi pembukaan kumpulan dan menyingkirkan Belanda pada pusingan 32 terakhir..

Mesir muncul pasukan Afrika kedua terbaik apabila mencipta sejarah meraih kemenangan pertama di pentas Piala Dunia serta mara ke pusingan 16 terakhir.

Namun, mereka gagal mengekalkan kelebihan 2-0 ke atas Argentina ketika perlawanan berbaki 11 minit sebelum tewas 2-3 dalam pertembungan yang dicemari kontroversi video bantuan pengadil (VAR).

Kegagalan mempertahankan kelebihan mendahului permainan turut menjejaskan Republik Demokratik Congo (DR Congo), Ivory Coast dan Senegal.

Senegal mendahului Belgium 2-0 dengan hanya berbaki lima minit permainan, tetapi akhirnya tewas selepas masa tambahan.

Senegal sebelum ini dijangka menjadi peneraju cabaran Afrika dengan skuad yang dilihat cukup kuat, namun kesilapan besar ketika tewas dalam dua perlawanan awal menentang Perancis dan Norway menyebabkan keyakinan mereka terjejas.

“Penyingkiran ini adalah satu kegagalan. Kami mempunyai kualiti untuk pergi lebih jauh. Namun kami tidak melakukannya,” kata penjaga gol, Edouard Mendy.

“Pertandingan pada tahap ini memerlukan penelitian mendalam terhadap diri sendiri. Bukan sekadar semakan biasa, tetapi penelitian yang jujur dan ketat terhadap segala perkara yang dilakukan.

“Senegal mungkin pasukan Afrika yang pulang dengan perasaan bahawa mereka gagal mencapai sasaran, walaupun terdapat juga rasa terkilan bagi DR Congo yang mendahului England dalam aksi pusingan 32 terakhir sebelum dua gol lewat Harry Kane mengubah keputusan.

Ivory Coast juga pasti kecewa selepas gagal mengawal Erling Haaland yang tidak dikawal beberapa minit sebelum tamat perlawanan dan akhirnya menerima padah.

Kejayaan luar biasa Cape Verde, dengan penjaga gol berusia 40 tahun, Vozinha mencuri perhatian dunia dan menjadi antara faktor utama dalam kejohanan yang dipenuhi aksi mendebarkan.

Selepas berjaya mengikat bekas juara dunia, Sepanyol dan Uruguay dalam peringkat kumpulan, Cape Verde bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk memaksa juara bertahan Argentina beraksi hingga masa tambahan dalam pusingan 32 terakhir di Miami sebelum akhirnya tewas 2-3.

Skuad itu disambut sebagai wira apabila pulang ke negara mereka, dengan ribuan penyokong memenuhi jalan raya.

“Semua orang begitu gembira,” kata Sidny Lopes Cabral, yang jaringannya ketika menentang Argentina dianggap antara gol terbaik kejohanan.

“Mereka memberitahu kami bahawa kami sebenarnya tidak kalah. Kami tersingkir, tetapi apa yang kami tunjukkan ketika menentang Argentina terasa seperti satu kemenangan bagi mereka.”

Algeria, Ghana dan Afrika Selatan turut mara ke peringkat kalah mati, dengan hanya Tunisia gagal melangkah lebih jauh.

Tunisia memecat jurulatih Sabri Lamouchi selepas kekalahan 1-5 kepada Sweden dalam aksi pembukaan, namun penggantinya Herve Renard juga gagal menyelamatkan kempen mereka.

Bola sepak Afrika kini akan memberi tumpuan kepada dua edisi berturut-turut Piala Negara-Negara Afrika dengan kejohanan 2027 dijadual berlangsung pada Jun tahun depan di Kenya, Tanzania dan Uganda.

Piala Dunia seterusnya juga akan berlangsung sebahagiannya di bumi Afrika apabila Maghribi menjadi tuan rumah bersama Portugal dan Sepanyol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top