riadz@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Jangkamasa lima tahun yang diambil untuk menyiapkan album terbaru Margasatwa berjudul Seribudaya adalah bukti mereka amat teliti dan terperinci dalam proses itu.
Penyanyinya, Kimal berkata, Seribudaya yang juga album kedua mereka ini adalah refleksi perjalanan mereka sebagai kumpulan muzik, merakamkan pengalaman hidup, seni dan budaya yang menjadi inspirasi.
“Kami berharap Seribudaya dapat membawa pendengar menyelami pelbagai emosi melalui bunyi yang segar dan asli,” katanya.
Album sulung mereka berjudul Margasatwa dihasilkan pada 2019.
Selain Kimal, Margasatwa turut dianggotai Fadhil (gitar utama), Sammy (gitar kedua), Shadiq (bass) dan Syahir (dram).
Menurut Kimal, album ini juga menjadi manifestasi perjalanan seni mereka selama hampir lima tahun, menampilkan gabungan elemen tradisional dan moden yang membawa nafas segar dalam arena muzik tanah air.
“Ia juga dihasilkan untuk menghidupkan semula nilai-nilai budaya melalui seni muzik kontemporari,” katanya.
Margasatwa yang ditubuhkan pada 2016 mengetengahkan muzik rock dengan pengaruh era 70-an hingga 90-an yang disulam dengan elemen budaya Melayu pada susunan muzik dan nyanyian.
Album Seribudaya yang menjalani rakaman di Studio Tongkat Sakti, Studio Selingsing dan Makmal Kampung Batu itu diterbitkan oleh Loque dari kumpulan Butterfingers dan MonoloQue.
Loque berkata, pembabitan dalam pembikinan album ini adalah satu pengalaman berbeza dan dia cukup teruja.
“Margasatwa sarat dengan seni bukan hanya luaran tetapi dalaman juga. Mereka berpengetahuan dalam bidang muzik dan saya seronok berkarya kerana kami dapat bereksperimentasi dengan bukan hanya bunyi, tapi dengan gubahan.
“Saya hanya menolong dari segi penerbitan, mereka menulis sendiri lagu dan bermain muzik mereka sendiri. Margasatwa adalah pemuzik yang hebat kerana berpengetahuan,” katanya.
Bukan hanya Loque, penghasilan album ini mendapat sokongan daripada pelbagai individu berpengalaman dalam industri muzik.
Antaranya ialah dua pemuzik berpengalaman daripada Spider iaitu pemain bass, Allahyarham Tony Iskandar dan pemain gitar, Allahyarham Hanafi Hamdan.
Tony meninggal dunia pada 30 Jun 2021, manakala Hanafi pada 22 November lalu. Sentuhan dan pengalaman mereka cukup bermakna buat Margasatwa.
Kimal berkata, mereka sangat bersyukur atas ilmu dan dorongan yang diberikan untuk memastikan album Seribudaya menjadi realiti.
Sempena pelancaran album ini, Margasatwa juga akan mengadakan konsert istimewa iaitu Gempita Alam Seribudaya di RGB Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam jam 8 malam esok.
Kimal berkata, konsert berkenaan akan menjadi medan pertemuan, pendengaran dan penglihatan visual mengenai transisi serta seni yang dibawakan Margasatwa.
“Kami hanya ingin peminat bergempita dan meraikan Seribudaya seperti mana mereka sudah dan masih merayakan karya-karya kami yang sebelumnya,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai tiket di www.ticket2u.com.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd