Beri insentif galak parti politik capai 30 peratus kouta wanita

KLANG – Kerajaan digesa mempertimbangkan cadangan untuk memberikan insentif kewangan kepada mana-mana parti politik yang mengangkat calon wanita dalam pilihan akan datang.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia sebagai galakan kepada parti politik untuk memastikan kuota 30 peratus untuk wanita dalam Parlimen dapat dicapai pada PRU-15.

“Saya tidak tahu itu boleh dibuat secara senang atau tidak.

“Saya rasa terdapat langkah-langkah tambahan sekiranya kerajaan bersetuju memberi insentif kepada parti-parti politik yang mencalonkan lebih ramai wanita.

“Setiap undi yang diperolehi oleh calon wanita ini umpamanya boleh diberi insentif kewangan untuk pembangunan wanita bagi parti tersebut,” katanya pada sidang media di Wyndham Acmar, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Majlis Pemimpin Wanita Politik Malaysia (COMWEL).

Hadir sama Presiden COMWEL, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam pada itu, Azhar mengakui pembabitan wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan khususnya di peringkat Parlimen masih jauh daripada kouta 30 peratus yang ditetapkan sebelum ini.

“Perwakilan wanita dalam Dewan Rakyat boleh ditambah baik kerana sekarang cuma ada 14 peratus atau 33 orang wanita daripada 222 ahli Parlimen.

“YB Zuraida juga mencadangkan pilihan raya akan datang SPR boleh menentukan peratusan kawasan kepada wanita,” katanya.

Azhar juga menafikan pelaksanaan cadangan itu memerlukan sebarang peruntukan undang-undang melainkan keazaman politik semua parti di negara ini.

“Jadi itu tidak memerlukan apa-apa perkara membabit perundangan, saya rasa itu boleh dibuat serta-merta.

“Sekarang kita tak perlu tengok peruntukan undang-undang, cuma memerlukan keazaman politik untuk melakukannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Scroll to Top