Beri masa kepada Teong Kim bina pasukan – Pengerusi Perak FC

Beri masa kepada Teong Kim bina pasukan – Pengerusi Perak FC

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi menegaskan kelab itu akan bertindak secara profesional ke atas jurulatihnya, Datuk Lim Teong Kim walaupun kelab itu berada dalam prestasi kurang memuaskan.

Sehingga ke saat ini, tegas beliau pihak pengurusan Perak FC masih yakin dengan keupayaan Teong Kim seiring dengan kontraknya tahun yang telah diberikan kepadanya.

Tambah Abdul Azim, Perak memilih untuk bersikap relevan dan enggan terburu-buru dalam membuat keputusan memandangkan barisan pemain yang ada juga masih muda dan perlu diberikan lebih banyak pendedahan.

“Kami berikan tempoh tiga hingga lima tahun, saya sudah jelaskan kepada penyokong.

“Dalam satu hingga dua tahun terawal, kami tidak sasar kedudukan dua ke tiga terbaik, kedudukan pertengahan pun sudah cukup.

“Dan apabila sudah bina pasukan, sebaik masuk ke fasa tiga, kami akan tingkatkan prestasi,” katanya.

Ketika ini, ramai yang mempersoalkan sejauh mana kemampuan sebenar bekas penolong pengurus skuad bawah 19 tahun Bayern Munich itu untuk membawa wajah baharu Sang Seladang musim ini.

Selepas enam perlawanan, Teong Kim hanya mampu memberi satu kemenangan, dua seri dan selebihnya Perak FC hanya merekodkan kekalahan

“Kena beri masa kerana (proses) ini akan memakan masa yang lama. Ibaratnya kota Rom tidak dibina sehari. Jadi tunggulah.

“Kontraknya adalah selama dua tahun, itulah jangka masa yang kami berikan kepadanya.

“Tapi baru beberapa bulan kita dah cari pasal, saya ingat ini tidak profesional lagi,” kata Abdul Azim memetik dałam satu temu bual bersama Nadi Arena.

Malam ini, skuad The Bos Gaurus bakal melayani kunjungan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Perak bagi saingan ketujuh Liga Super 2023. – MalaysiaGzette

Scroll to Top