hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Dakwaan palsu mengenai kejadian jenayah, termasuk penculikan, boleh mencetuskan panik dan rasa tidak selamat dalam kalangan masyarakat, terutama apabila ia disebarkan bersama nama lokasi, gambar, video atau penceritaan seolah-olah daripada saksi kejadian.
Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mastura Mahamed berkata, perkara itu perlu dipandang serius kerana ia menyentuh aspek keselamatan awam.
“Orang ramai tidak wajar membuat kesimpulan sendiri mengenai niat atau kesalahan mana-mana individu selagi siasatan masih dijalankan.
“Kita perlu membezakan antara maklumat salah yang disebarkan kerana seseorang tersilap atau tidak membuat semakan dengan maklumat palsu yang sengaja dicipta untuk memperdaya orang ramai,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, polis menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya seorang wanita diculik di hadapan sebuah kedai makan di kawasan Karak di Bentong baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerima maklumat berhubung hantaran berkenaan semalam sebelum menjalankan semakan dan siasatan di premis terbabit.
Menurutnya, siasatan awal mendapati dakwaan itu palsu dan tidak berlaku seperti yang didakwa.
Zaiham berkata, pihaknya turut memohon pemilik akaun media sosial itu supaya tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan berkaitan penularan hantaran berkenaan.
Mastura berkata, di dalam bidang komunikasi, perbezaan antara kesilapan dengan penipuan yang disengajakan sangat penting.
“Dari sudut undang-undang pula, pengetahuan, niat, cara penyebaran dan kesan kandungan itu perlu dinilai berdasarkan bukti.
“Setiap perkongsian semula memanjangkan hayat sesuatu dakwaan dan membawanya kepada kumpulan penerima yang baharu.
“Dalam media sosial, seseorang tidak perlu menjadi pencipta asal untuk membantu sesuatu maklumat palsu menjadi tular,” katanya.
Katanya, kesan pertama penyebaran berita palsu ialah kepanikan dan rasa tidak selamat dalam kalangan masyarakat setempat.
“Ibu bapa mungkin takut membenarkan anak keluar, penduduk boleh mengubah rutin mereka dan orang ramai mungkin mula mencurigai individu yang tidak bersalah.
“Jika gambar seseorang atau kenderaan turut disebarkan tanpa pengesahan, keadaan itu juga boleh mencetuskan tuduhan, gangguan atau tindakan sendiri oleh orang ramai,” katanya.
Katanya, penyebaran maklumat palsu turut memberi kesan kepada penggunaan sumber pihak berkuasa.
“Polis perlu menerima laporan, mengesan sumber kandungan, memeriksa lokasi dan menjawab kebimbangan masyarakat. Masa dan tenaga yang digunakan untuk menyiasat kejadian yang tidak berlaku boleh menjejaskan tumpuan terhadap aduan keselamatan yang sebenar,” katanya.
Tambahnya, kesan reputasi tidak semestinya hilang selepas penafian dikeluarkan kerana kandungan asal lazimnya tersebar lebih jauh berbanding pembetulannya.
Dalam jangka panjang, Dr Mastura berkata, berita palsu boleh menghakis kepercayaan terhadap keseluruhan ekosistem maklumat.
“Apabila terlalu banyak amaran palsu beredar, masyarakat boleh mengalami keletihan maklumat dan menjadi kurang peka.
“Akibatnya, apabila berlaku kejadian sebenar, amaran yang sah juga mungkin dipersoalkan atau diabaikan. Inilah kesan yang paling sukar dipulihkan,” katanya.
Tambahnya, Malaysia tidak lagi mempunyai satu undang-undang khusus kerana Akta Antiberita Tidak Benar 2018 telah dimansuhkan melalui Akta Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2020.
“Namun, ini tidak bermakna penyebaran berita palsu tidak boleh diambil tindakan. Beberapa peruntukan undang-undang sedia ada boleh digunakan bergantung pada sifat kandungan, niat, medium dan kesannya.
“Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan secara umum berkaitan perbuatan membuat, menerbitkan atau mengedarkan kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat, atau yang berkemungkinan, menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
