Bernhardt kekal bimbing UiTM FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Shah Alam: Khidmat Frank Bernhardt sebagai ketua jurulatih UiTM FC dikekalkan bagi pada musim depan selepas prestasi membanggakan dipamerkan pasukan universiti itu pada musim ini.

Presiden UiTM FC, Prof Dr Azizan Abdullah berkata pihak pengurusan UiTM FC yakin dengan kemampuan Bernhardt untuk terus mengendali pasukan berkenaan bagi musim kedua serta meneruskan pencapaian yang gemilang.

“Dalam tahun pertama penglibatan UiTM FC di Liga Super, kita berjaya memberi impak yang baik terutamanya untuk pasukan yang sebelum ini dianggap tidak mempunyai peluang atau pasukan kerdil dan pelengkap dalam liga berkenaan”, katanya.

“Kita berjaya memberi saingan yang kuat kepada pasukan gergasi dan berpengalaman malah pencapaian di tempat ke enam serta layak ke suku akhir Piala Malaysia adalah kejayaan yang manis untuk UiTM”, katanya lagi.

“Justeru, saya serta pengurusan UiTM FC yakin dengan kemampuan Bernhardt untuk terus memimpin pasukan bagi musim 2021”, katanya pada Majlis Memperkenalkan Ketua Jurulatih UiTM FC Musim 2021 di Dewan Kompleks Sukan UiTM hari ini.

Beliau juga berkata, pasukan UiTM FC diharapkan berjaya layak ke AFC selain meneruskan prestasi cemerlang serta kekal dalam liga.

Pada majlis itu, pengurusan UiTM FC turut melanjutkan kontrak 9 pemain tempatan iaitu Azfar Arif, Mohd Syafiq Alhafiz, Muhammad Afif Asyraf, Muhamad Faizal, Ahmad Khuzaimi Piee, Muhamad Nazshran Elias, Azam Jais, Muhamad Nazirul Hasfh dan Muhamad Rafie.

Selain itu, Azizan berkata bahawa pihaknya kini masih dalam perbincangan peringkat akhir dengan tiga pemain lain.

“Sesi pemilihan pemain tempatan akan diadakan secara terbuka pada Disember ini manakala bagi pemain import, ketua jurulatih bersama panel ‘talent scouting’ UiTM FC akan duduk bersama untuk mendapatkan pemain import yang berkualiti”, katanya.

Sementara itu, Bernhardt yakin untuk meneruskan kecemerlangan pasukan bimbingannya pada musim akan datang.

Katanya, perancangan pasukan itu jelas malahan mereka berjaya membuktikan bahawa UiTM FC bukan pasukan satu musim sahaja ataupun pasukan yang hanya bertuah.

“Penonton sudah melihat betapa bagus (prestasi) kita dan ia dibuktikan apabila ramai pemain pasukan ini menerima tawaran daripada kelab lain untuk musim akan datang”, katanya.

“Walaupun terdapat banyak khabar angin (mengenai tawaran untuk menjadi ketua jurulatih pasukan lain), saya rasa lebih baik untuk kekal dengan UiTM FC kerana saya suka bekerja dengan pemain serta pengurusan pasukan ini”, katanya lagi.

Beliau berkata, kecemerlangan pada musim 2020 menjadikannya lebih bermotivasi untuk membuat lebih baik pada musim 2021.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk