GEORGE TOWN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disaran kembali menjalinkan kerjasama dengan UMNO bagi memperkukuhkan penyatuan politik Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Saranan itu dibuat susulan kedudukan parti itu yang dilihat semakin terpinggir dalam landskap politik semasa.
Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, pandangan itu dibuat berdasarkan perkembangan politik terkini yang menyaksikan Bersatu berdepan pelbagai cabaran termasuk krisis dalaman parti, kemelut dalam Perikatan Nasional (PN) serta prestasi yang kurang memberangsangkan dalam beberapa pilihan raya negeri.
“Kegagalan Bersatu memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Barisan Nasional menguasai 48 kerusi menjadi petunjuk jelas bahawa parti itu berdepan kesukaran untuk meraih sokongan sekiranya bergerak secara bersendirian.
“Situasi itu dilihat bertambah rumit apabila Pas yang merupakan komponen PN memilih untuk menjalin kerjasama politik dengan UMNO di Johor dengan menggesa ahlinya menyokong calon-calon BN,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Mohd Yussof lagi, bagi PRN Negeri Sembilan pula, Bersatu dilaporkan bertanding menggunakan lambang sendiri selepas dikatakan kecewa dengan pendirian Pas sekali gus dilihat memilih pendekatan bergerak secara solo.
“Keputusan itu dijangka memberi cabaran lebih besar kepada Bersatu malah berisiko menyebabkan calon-calonnya gagal memperoleh sokongan mencukupi sebagaimana berlaku pada PRN Johor.
“Bersatu kini tidak mempunyai banyak pilihan untuk membentuk kerjasama politik memandangkan hubungannya dengan Pas dilihat semakin renggang manakala hubungan dengan UMNO pula masih dipengaruhi sejarah penubuhan Bersatu yang lahir daripada perpecahan dalam parti tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan ahli-ahli Bersatu kembali menyertai UMNO memandangkan sebahagian besar kepimpinan dan ahlinya merupakan bekas ahli parti berkenaan.
“Malah Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilihat mampu memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan semula UMNO melalui pengalaman luas serta pengaruh yang dimilikinya dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Pada masa sama, kepimpinan UMNO turut disaran membuka ruang lebih luas kepada bekas ahlinya yang pernah dipecat, digantung atau meninggalkan parti bagi mengukuhkan kembali sokongan orang Melayu,” katanya.
Mohd Yussof berkata, penyatuan pemimpin politik Melayu secara ikhlas dan mengetepikan perselisihan lama penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO serta memperkukuhkan agenda politik Melayu menjelang PRU16.



