KOTA BHARU: Calon boleh menang menjadi taruhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam usaha merampas kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, calon yang pelbagai latar belakang akademik, profesional dan sebagainya.
Menurutnya, senarai itu akan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti dalam masa terdekat.
“Besar hasrat kita mahu mengukuhkan lagi kedudukan Pas sekali ketua kerajaan di negeri ini dengan merampas kerusi yang dimenangi oleh BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“Bersatu yakin gerak kerja PRN menerusi jalinan kerjasama dengan Pas menerusi Perikatan Nasional (PN) menjadi kekuatan untuk merealisasikan impian merampas kerusi BN,” katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas perkembangan terkini Bersatu Kelantan menjelang PRN tidak lama lagi.
Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) antara beliau dengan Pengerusi baharu iaitu Muhamad Husain di Ibu Pejabat KADA di sini, hari ini.
Pada PRN nanti, Bersatu Kelantan akan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pas 39.
Sementara BN 31 dan 14 lagi diserahkan kepada sekutu mereka Pakatan Harapan (PH).-UTUSAN




