Berselindung di rumah urut tawar khidmat seks, 9 wanita warga asing ditahan

SHAH ALAM – Selepas mengurut badan pelanggan, pakej istimewa seks untuk tempoh 45 minit ditawarkan pada harga RM150.

Kegiatan tidak bermoral secara sembunyi membabitkan beberapa wanita Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sebalik rumah urut di kawasan Subang Jaya dan Klang berjaya diserbu Jabatan Imigresen Selangor bermula 9 malam hingga 12 tengah malam tadi.

Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi penguatkuasaan Ops Gegar itu dibuat untuk mengesan dan menahan PATI yang duduk di dalam negara secara haram.

Katanya, operasi itu disertai 15 orang pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa dengan tertumpu di tiga buah premis yang menjalankan perkhidmatan urutan badan di kawasan Subang Jaya dan Klang.

“Hasil serbuan kita berjaya memeriksa 22 orang individu di premis itu sementara sembilan daripadanya yang merupakan wanita warga Indonesia, Thailand dan Vietnam berusia antara 23 hingga 43 tahun telah ditahan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan pelbagai di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan peraturan-peraturan Imigresen.

“Mereka didapati tinggal tinggal tanpa pas atau permit yang sah, tinggal lebih masa serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang telah diberikan.

“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Negeri Selangor bagi siasatan lanjut dan seterusnya direman selama 14 hari dibawah seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Penguatkuasa Imigresen Selangor memotong pintu besi tiga premis urut badan semasa serbuan selepas disyaki melakukan kegiatan tidak bermoral menggunakan wanita PATI dalam Ops Gegar tengah malam tadi.

Tambah beliau, semasa serbuan dilakukan wanita-wanita PATI itu sedang bekerja dengan melayan nafsu seks pelanggan di bilik-bilik kecil yang dibina khas dalam premis tersebut.

“Ketika diserbu, ada cubaan beberapa wanita PATI dan pelanggan yang sedang ‘beraksi’ kelam kabut cuba melarikan diri namun tidak berjaya kerana anggota operasi telah mengepung premis tersebut.

“Pemeriksaan awal Imigresen mendapati premis ini menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan menawarkan pakej urutan badan dan perkhidmatan seks dengan bukti penemuan kondom yang telah digunakan di dalam bilik dan beberapa bungkusan yang masih belum digunakan di stor premis berkenaan.

“Siasatan awal juga mendapati setiap pelanggan yang ingin mendapatkan pakej perkhidmatan ini dikenakan bayaran sebanyak RM150 bagi tempoh 45 minit,” katanya.

Ujarnya, sebagai tindakan mengelak kegiatan itu tidak dikesan pihak berkuasa, premis tersebut tidak memaparkan sebarang papan iklan perniagaan dan ia dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pasukan operasi sekiranya serbuan dilakukan.

Semasa serbuan ke atas ketiga-tiga premis urut badan itu, jelas Mohamad Shukri, pasukan operasinya terpaksa memecahkan pintu jeriji besi dan bermagnet kerana penghuni tidak memberi kerjasama membuka pintu untuk membenarkan penguatkuasa memasuki premis.

“Pihak Jabatan Imigresen juga akan turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan majikan atau pelindung kepada PATI ini, dan sekiranya terbukti mereka juga akan turut dikenakan tindakan undang-undang yang sedang berkuatkuasa termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Dalam operasi ini semua pegawai dan anggota operasi mematuhi SOP keselamatan yg ditetapkan oleh Jabatan untuk mengelak jangkitan virus Covid-19 semasa melakukan pemeriksaan dan kesemua suspek yang ditahan juga telah dibawa ke Klinik Kesihatan bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum di tempatkan di depot tahanan,” katanya. – MalaysiaGazette