Renard tagih semangat Tunisia

Renard tagih semangat Tunisia

Guadalupe: Jurulatih baharu Tunisia, Herve Renard menegaskan hanya kerja keras dan semangat berpasukan mampu menyelamatkan kempen Piala Dunia pasukannya sambil menolak tanggapan bahawa dia mampu melakukan keajaiban dalam masa singkat.

Pengendali berusia 57 tahun itu dilantik minggu ini bagi menggantikan Sabri Lamouchi yang dipecat susulan kekalahan memalukan 1-5 kepada Sweden dalam aksi pembukaan Kumpulan F.

Lamouchi mencipta rekod tidak diingini apabila menjadi jurulatih pertama dalam sejarah Piala Dunia yang dipecat selepas hanya satu perlawanan.

Renard kini mempunyai tugas mencabar untuk mengembalikan keyakinan pasukan menjelang pertemuan dengan Jepun di Monterrey, Mexico, selepas hanya sempat bersama skuad itu selama tiga hari.

Pengendali dari Perancis itu sering digelar ‘ahli sihir’ atau ‘pakar strategi’ susulan kejayaannya membimbing beberapa pasukan di pentas antarabangsa, termasuk membawa Arab Saudi mencipta kejutan menewaskan Argentina 2-1 pada Piala Dunia 2022.

Bagaimanapun, Renard menegaskan kejayaan tidak datang melalui magis, sebaliknya menerusi usaha berterusan dan komitmen seluruh pasukan.

“Kami perlu mempamerkan permainan berpasukan yang sempurna esok.

“Saya bertemu kumpulan pemain yang berfikiran terbuka, bersemangat dan mahu menebus kekecewaan,” katanya.

Menurutnya, Tunisia perlu kembali kepada asas permainan bagi menghadapi cabaran getir menentang Jepun yang sebelum ini mengikat Belanda 2-2.

“Keazaman amat penting. Mudah untuk bercakap. Saya dengar ada yang menggelar saya ahli sihir, tetapi saya bukan ahli sihir.

“Dalam bola sepak, kejayaan datang hasil kerja keras yang dilakukan,” katanya.

Renard enggan mendedahkan perancangannya untuk perlawanan itu, namun menegaskan pasukannya perlu lebih berdisiplin dan bergerak sebagai satu unit.

“Kami perlu kembali kepada asas dan prinsip permainan.

“Bermain dengan disiplin, penuh ketelitian dan sebagai satu pasukan. Itulah kekuatan utama kami untuk perlawanan esok,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top