Bertanding semua kerusi bukan pengkhianatan terhadap PH – Pemuda BN Johor

Bertanding semua kerusi bukan pengkhianatan terhadap PH – Pemuda BN Johor
Bertanding semua kerusi bukan pengkhianatan terhadap PH – Pemuda BN Johor

Dari kiri: Zhi Li, Noor Azleen dan Mohan Arunachalam menerusi kenyataan bersama turut mengalu-alukan sekiranya PH Johor mahu meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN.

JOHOR BAHRU – Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Johor menegaskan keputusan BN Johor untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bukan satu bentuk pengkhianatan terhadap Pakatan Harapan (PH).

Menurut kenyataan bersama Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros; Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li dan Ketua Pemuda MIC Johor, Mohan Arunachalam, keputusan tersebut selari dengan amalan demokrasi apabila parti pemerintah menawarkan diri semula kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baharu.

Mereka berkata, adalah tidak masuk akal sekiranya parti penyandang dilihat teragak-agak atau tidak bersedia mempertahankan kerajaan yang dipimpin sendiri.

“PH Johor dan mana-mana parti dalam gabungan tersebut tidak sepatutnya merasa terkilan, marah atau mendakwa berlaku pengkhianatan susulan keputusan BN Johor ini.

“Kerajaan Negeri Johor hari ini terbentuk hasil mandat jelas rakyat dalam PRN Johor 2022 yang memberikan kemenangan besar kepada BN, bukannya hasil gabungan politik pasca pilihan raya,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Dalam masa sama, Pemuda BN Johor turut mengalu-alukan sekiranya PH Johor mahu meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN bagi membolehkan rakyat menentukan pilihan melalui proses demokrasi yang matang dan terbuka.

Menurut mereka, keputusan bertanding di semua kerusi dibuat bagi memastikan kestabilan politik negeri terus dipertahankan selain meneruskan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor.

“BN Johor kekal formula terbaik untuk terus mengemudi kerajaan negeri demi kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya.

Scroll to Top