BAGAN DATUK: Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO yang meninggalkan parti itu disifatkan sebagai ‘reptilia’ yang melompat keluar dari kolam UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO tidak hairan dengan tindakan wakil rakyat yang meninggalkan parti kerana mereka tidak mempunyai daya tahan minda.
“Selama 22 bulan ketika UMNO menjadi pembangkang, kita teruk ditekan sehingga ada rakan-rakan kita yang meninggalkan parti.
“Biarpun ada Ahli Parlimen dan ADUN yang melompat kerana tidak ada daya tahan minda dan jiwa mereka, kita biarkan mereka melompat.
“Namun hakikat yang dirasakan akar umbi selama 22 bulan, walaupun kita membiarkan reptilia ini melompat keluar daripada kolam UMNO, kolam BN, hakikatnya kita tak hairan, biarlah orang itu melompat tapi natijahnya UMNO dan BN terus kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE
