'Bila di perantauan, perlu lebih usaha hidupkan suasana Syawal'

'Bila di perantauan, perlu lebih usaha hidupkan suasana Syawal'

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Meskipun berada di perantauan serta jauh dari keluarga, namun sambutan Hari Raya Aidilfitri tetap disambut meriah oleh pelajar-pelajar Malaysia di luar negara.

Pelajar Malaysia di Manchester, United Kingdom (UK), Dina Alya Mohd Taufik, 21, berkata, tahun ini adalah pengalaman kali pertama dia beraya di perantauan.

“Ini adalah pengalaman pertama saya beraya di perantauan, jadi saya agak sedih dan sedikit gementar kerana jauh dari keluarga.

“Untuk mengubat kerinduan, saya ada menghubungi keluarga pada malam raya dengan membuat panggilan telefon bagi melihat persiapan mereka menyambut raya.

“Selain itu, saya juga ada bertanyakan ibu cara untuk memasak juadah raya untuk disediakan di sini bersama rakan-rakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dina yang juga pelajar tahun pertama bagi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi di University of Manchester berkata, dia tidak balik ke kampung halaman di Seremban, Negeri Sembilan kerana masih ada kelas perlu dihadiri.

“Namun begitu, sambutan beraya di sini boleh dikatakan meriah kerana Manchester terkenal dengan jolokan ‘kampung Melayu’ yang banyak budaya Melayu dipraktikkan terutama ketika Hari Raya Aidilfitri.

“Walaupun kurang beberapa bahan utama untuk masak juadah raya seperti lemang dan ketupat, kami tetap usahakan juga. Setiap tahun komuniti muslim di kawasan Rusholme menunaikan solat sunat raya di taman yang dibentangkan tikar di padang.

“Ketika itu, kami akan jumpa semua muslim daripada pelbagai latar belakang yang menetap di Manchester termasuk di Malaysia, Pakistan, Arab, India dan lain-lain,” katanya.

Pengalaman beraya kali pertama di perantauan turut dirasai oleh seorang lagi pelajar Malaysia di Coventry, UK, Azib Zikry Abdul Halim, 25, yang menuntut Ijazah Sarjana Seni dan Sains (MASc) Visualisasi Data di University of Warwick.

Menurut Azib, pengalaman raya pertama di perantauan agak kekok baginya kerana tiada ahli keluarga dan rakan-rakan di sisi selain, suasana raya yang tidak sama seperti di kampung halamannya di Nilai, Negeri Sembilan.

“Bila di perantauan, perlu lebih usaha untuk menghidupkan suasana Syawal. Lazimnya, anak perantau di UK tidak begitu terasa (berada di perantauan).

“Ini kerana ada komuniti Malaysia agak besar di sini (UK) terutama di bandar besar seperti London, Coventry, Birmingham, Manchester dan Leeds.

“Justeru itu, sambutan raya di sini tetap meriah dengan pelbagai aktiviti termasuk rewang menyediakan juadah raya dan kunjung mengunjung antara komuniti lain,” katanya.

Sementara itu, pelajar Malaysia di Perth, Australia, Ahmad Irfan Mohamad Yusof, 26, pula menyambut Aidilfitri buat kali kedua di perantauan.

Beliau yang juga pelajar tahun dua bagi Ijazah Sarjana Seni Bina di University of Western Australia berkata, raya di sana amat menarik kerana dapat menyambut perayaan itu bersama rakan dan komuniti Malaysia di Perth.

“Walaupun jauh dari keluarga, tapi masih ada rasa kemeriahan raya di sini. Disebabkan saya tinggal di Dewan Malaysia Perth, acara hari raya sama seperti di tanah air.

“Solat sunat Aidilfitri, jamuan makan, rumah terbuka di kediaman keluarga dari Malaysia yang menetap di Perth turut diadakan. Dari segi makanan pula, juadah disediakan sama sahaja seperti ketupat, lemang, rendang, lontong dan lain-lain.

“Namun, ada juga timbul rasa rindu untuk beraya keluarga di kamEpung halaman di Batu Kikir, Negeri Sembilan kerana nak rasa rendang daging nenek saya selain suasana ziarah rumah saudara mara di sana,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top