Pelakon dan pengacara jelita, Scha Alyahya merasakan seolah-olah dia sudah tidak ada tujuan dalam hidup selepas pemergian ibu tersayang, Allahyarhamah Junainah Hashim, pada 7 Disember tahun lalu.
Sebagai seorang yang menjadikan ibunya sebagai idola dan inspirasi, Scha mendedahkan kehilangan tersebut memberi kesan mendalam kepada kehidupannya, seolah-olah semangatnya turut melayang bersama pemergian insan tercinta itu.
Ketika sesi podcast Wardah Heart to Heart bersama Dayah Bakar, Scha berkongsi dia masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan realiti tanpa ibunya di sisi.

“Semasa ibu saya meninggal dunia pada Disember, itu perkara yang paling saya takut. Saya rasa macam hidup ini sudah tidak ada tujuan.
“Ibu saya adalah ‘role model’ saya. Dia sangat kuat. Ramai yang cakap dia ada dalam diri saya ke mana saja saya pergi. Tetapi saya masih dalam proses ‘grief’. Memang akan ambil masa.
“Saya bukan cuba untuk ‘move on’ tetapi kena ‘move forward’. Itu yang saya sedang cuba lakukan,” katanya sebak.
Sebagai anak kedua dalam keluarga, aktres filem Awan Dania The Movie ini cukup rapat dengan ibunya kerana setiap perkara, baik besar mahupun kecil, pasti dikongsi bersama.
“Rutin saya ketika ibu masih ada, saya akan hubungi setiap masa. Rumah dia dalam 10 minit saja dari rumah saya.
“Bila saya keluar bekerja atau melancong ke luar negara, saya akan video call dia sekurang-kurangnya dua atau tiga kali.
“Bila saya dapat skrip, ibu saya yang akan baca. Bila ibu dah tak ada sekarang, saya rasa satu kehilangan besar dalam hidup.
“Sepanjang berada dalam industri, saya tak pernah tunjuk saya menangis. Saya tak suka menangis depan orang sebab rasa tak perlu. Saya tak suka perhatian dan publisiti,” katanya lagi.
Ibu Pendorong Utama Karier Seni
Mendedahkan kisah di sebalik penglibatannya dalam dunia hiburan, Scha berkata ibunya memainkan peranan penting dalam membuka ruang untuknya bergelar anak seni.
“Saya pernah jadi pramugari sebelum ini. Bila dah dapat apa saya nak, saya berhenti. Bila ibu saya tengok saya tak buat apa-apa, dia yang hantar borang untuk masuk pertandingan Dewi Remaja 2005/2006.

“Saya masuk dan menang, alhamdulillah. Ketika itu, saya rasa diri saya macam tak layak masuk dalam industri. Tetapi rezeki tertulis dalam bidang ini, saya teruskan mencuba juga. Akhirnya, sudah 19 tahun dan saya masih di sini, saya rasa itu berkat doa ibu,” katanya.
Luang Masa Bermuhasabah
Dalam melalui detik sukar, Scha berkata dia kini lebih banyak meluangkan masa bersendirian untuk bermuhasabah dan mencari ketenangan dengan mendekatkan diri kepada Tuhan.
“Sejak ibu saya pergi, saya ada satu rutin baru. Saya akan duduk dan renung diri. Saya buat terapi sendiri iaitu bercakap dengan Allah. Sangat sakit untuk saya simpan sendiri.
“Sejak akhir-akhir ini, kawan saya pun ramai yang diduga dengan kehilangan. Saya cakap dekat mereka apa yang boleh dibuat adalah duduk atas sejadah dan amal beberapa surah untuk diri dan juga arwah.
“Semua makhluk atas muka bumi ini menjalani kehidupan sementara jadi kita kena selalu cakap dekat diri sendiri untuk sentiasa bersedia. Kena beringat,” katanya.
Pesanan Untuk Menghargai Ibu Bapa Selagi Ada
Sebagai seorang yang telah merasai kehilangan, Scha turut berpesan kepada mereka yang masih mempunyai ibu bapa agar tidak mengambil mereka sebagai sesuatu yang remeh dan sebaliknya menghargai setiap momen bersama.
“Sejak ibu saya meninggal, saya selalu ingatkan dekat kawan-kawan selagi ada jaga. Tak kisah la ada momen tak bercakap atau pernah bergaduh. Saya nasihatkan untuk letak tepi semua itu kerana kita tak tahu apa yang akan terjadi pada diri kita.
“Allah boleh ambil bila-bila masa saja. Allah boleh uji macam-macam dalam sekelip mata. Kita tak nak, apabila sudah terjadi baru nak sedar.
“Jadi, saya harap kalau ada orang yang kita sayang, kita luahkan rasa sayang itu supaya tidak menyesal di kemudian hari.
“Tak kisah sama ada menerusi kiriman mesej, panggilan telefon atau pulang terus ke kampung,” katanya penuh makna.




