'Bila tukar gambar saya jadi perempuan, saya rasa ada batasnya' – Zizan Razak

'Bila tukar gambar saya jadi perempuan, saya rasa ada batasnya' – Zizan Razak

puterialia@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pelakon dan pelawak, Zizan Razak meletakkan batas berhubung isu suntingan fotonya yang tular di Threads terutama apabila menyentuh sensitiviti agama dan digunakan secara tidak bertanggungjawab.

Zizan, 42, yang memuat naik peringatan kepada warga maya di media sosialnya, semalam, mengakui ada menerima mesej peribadi (DM) daripada pengguna media sosial yang membuat permohonan maaf kepadanya.

“Ada orang DM minta maaf dan saya ada baca, cuma untuk balas belum sempat lagi sebab sibuk. Tetapi baguslah yang minta maaf itu. Mereka yang tidak minta maaf itu, saya pun tidak tahu kenapa.

“Bagi mereka yang ‘make it fun’ (berseronok) itu berpada-padalah. Kalau saya nak marah, dah lama saya marah.

“Kalau perkara itu boleh buat Malaysia tersenyum, tidak salah pun. Cuma yang mengambil kesempatan itu saya rasa tidak manis,” katanya ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran trailer filem terbaharu lakonannya, Terbang, di sini, malam tadi.

Bercerita mengenai fotonya yang mula tular untuk dijadikan bahan ‘meme’ di Threads, Zizan berkata, pada awalnya dia tidak mengetahui trend perbuatan menyunting wajahnya itu.

“Sejujurnya bila perkara itu viral (tular), saya tidak faham lagi bila orang DM saya tanya dah tengok di Threads ke belum?

“Bila saya tengok di Threads, makin lama makin banyak muka saya dan orang dah mula tukar-tukar gambar saya. Sejujurnya saya ‘enjoy’, saya gelak dan happy sebab saya rasa mereka sangat kreatif serta kelakar.

“Tetapi bila dah mula tukar gambar saya jadi perempuan, saya rasa ada batasnya. Dulu saya pernah memakai pakaian perempuan, tetapi bila makin besar dan matang, kita juga diberitahu perbuatan berpakaian menyerupai perempuan itu haram.

“Ada juga yang ‘edit’ gambar saya jadi nun (biarawati). Nun ini bukan agama kita dan sudah melanggar agama Islam. Bagi saya, perbuatan itu cukup melampau,” kongsinya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Bawaku Pergi ini turut menegur tindakan syarikat perniagaan yang sewenang-wenangnya menggunakan wajahnya untuk tujuan pemasaran produk tanpa kebenaran.

“Saya nampak peniaga-peniaga kecil guna gambar saya, lepas itu bila syarikat-syarikat besar guna gambar saya, saya tidak mahu ia jadi seperti kes Datuk M Nasir yang mula saman dan sebagainya. Ia sesuatu perkara yang tidak bagus.

“Sebab itu saya keluarkan kenyataan. Bukan kata marah, tetapi saya berlaku tegas dalam senyuman sebab ini melibatkan agama kita.

“Contohnya kalau saya pakai kereta awak tanpa beritahu, mestilah tidak baik kan? Saya rasa benda itu memang sesuatu perkara yang haram,” kongsinya lagi.

Kata anak kelahiran Terengganu ini lagi, perbuatan menipu pengguna demi mengaut keuntungan perniagaan adalah satu tindakan yang tidak adil dan tidak beretika.

“Satu, rezeki kita halal ke haram? Yang keduanya, adakah kita sudah minta izin? Dan seterusnya ia melibatkan kerjaya seseorang. Kalau nak berseronok okay, tetapi berpada-pada.

“Kalau betul-betul nak buat perniagaan, ‘let’s deal, let’s do it’ dan minta izin, kita ada etika. Kalau ia dah melampau, mestilah saya akan ambil tindakan.

“Saya ini baik hati, kalau ikut undang-undang, sebenarnya daripada awal saya ada pesan pada beberapa jenama, malah kawan-kawan saya sendiri pun ada.

“Padahal kawan sebenarnya boleh minta kebenaran, tetapi mereka terus muat naik macam itu. Saya rasa agak biadab, tetapi saya cuba senyum dan cuba buat yang terbaik untuk saling menghormati,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya isu penyuntingan gambarnya berterusan, Zizan berkata, dia masih menggunakan akal fikiran dan pertimbangan yang waras.

“Saya masih lagi waras. Tetapi kalau betul saya nak ambil untung ke atas saman yang akan melibatkan kos dan merosakkan hubungan serta reputasi perniagaan, lebih baik saya beri peringatan secara terbuka supaya semua boleh faham sendiri.

“Ini bukan kali pertama berlaku. Sebelum ini pernah ada syarikat judi dan ‘scammer’ guna muka saya. Ada juga netizen DM tanya betul ke saya pakai baju itu atau itu jenama saya. Tetapi bila perkara ini berlaku, lagi ramai yang ambil kesempatan,” katanya.

Terdahulu, Zizan mencetuskan fenomena di platform Threads apabila fotonya dijadikan ‘meme’ oleh warga maya.

Imej pelawak itu disunting secara kreatif menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai gaya sebelum dimuat naik bersama kapsyen ringkas sehingga tular.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top