am@hmetro.com.my
Temerloh: Bilal masjid dikhuatiri lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus di Sungai Pahang di Kampung Peragap, di sini, hari ini.
Kakak mangsa, Normarzita Ishury, 42, berkata keluarganya dikejutkan dengan panggilan telefon pada 6.50 petang memaklumkan adiknya, Samsul Azmi Ishury, 41, dilihat berada di sungai berkenaan sebelum dipercayai hanyut.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mereka menemui motosikal serta barangan peribadi adiknya ditinggalkan berhampiran tebing sungai.
“Kami terkejut apabila dimaklumkan ada saksi melihat adik berada di sungai. Apabila sampai di sini, motosikal dan barang peribadinya memang ada,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini.
Normarzita berkata, mangsa adalah anak kedua daripada empat beradik dan tinggal bersama ibu mereka di Kampung Lipat Kajang.
Adiknya yang belum berkahwin itu bertugas sebagai bilal di masjid di kampung berkenaan manakala mereka sekeluarga tinggal berdekatan antara satu sama lain.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.30 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dikerahkan ke lokasi.
Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada 8.02 pagi dan menjalankan operasi pencarian bersama polis selepas menerima maklumat bahawa mangsa dipercayai berenang untuk menyeberangi sungai sebelum dihanyutkan arus.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin turut digerakkan bagi membantu operasi pencarian,” katanya.
Sehingga petang ini, operasi SAR membabitkan bomba, polis, APM dan PPDA masih giat dijalankan bagi mengesan mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




