Bilangan perkahwinan, perceraian merosot tahun lalu

KUALA LUMPUR – Bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2020 adalah 184,589, menurun 9.4 peratus daripada 203,661 pada 2019.

Penurunan bilangan perkahwinan ini disumbangkan oleh penurunan 1.8 peratus bilangan perkahwinan orang Islam pada 2020 (145,202) berbanding 2019 (147,847).

Tiga negeri yang menunjukkan penurunan tertinggi perkahwinan orang Islam iaitu Sabah (-19.3%) diikuti Labuan (-14.3%) dan Selangor (-5.9%).

Sebaliknya, tiga negeri menunjukkan peningkatan perkahwinan iaitu Putrajaya (14.0%) diikuti Perlis (12.4%) dan Kedah (8.4%).

Bilangan perkahwinan orang bukan Islam juga merekodkan penurunan pada kadar yang cepat iaitu 29.4 peratus daripada 55,814 (2019) kepada 39,387 (2020) dengan tiga negeri menyaksikan kejatuhan tertinggi perkahwinan orang bukan Islam iaitu Johor (38.4%), Sabah (36.9%) dan Pahang (36.3%).

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, keseluruhan kadar perkahwinan am bagi pengantin lelaki menurun daripada 50.1 kepada 45.6 bagi setiap 1,000 penduduk lelaki berumur 18 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

Trend yang sama juga bagi pengantin perempuan yang merekodkan penurunan daripada 46.2 kepada 41.7 bagi setiap seribu penduduk perempuan berumur 16 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

Selari dengan penurunan keseluruhan bilangan perkahwinan, kadar perkahwinan am bagi pengantin lelaki Islam juga menurun daripada 60.3 kepada 59.6 bagi setiap seribu penduduk lelaki Islam berumur 18 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

Kadar perkahwinan bagi pengantin perempuan Islam turut mencatatkan penurunan daripada 54.9 kepada 53.8 bagi setiap seribu penduduk perempuan Islam berumur 16 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

Bagi orang bukan Islam, kadar perkahwinan am bagi pengantin lelaki Bukan Islam menurun daripada 34.5 kepada 24.5 bagi setiap 1,000 penduduk lelaki bukan Islam berumur 18 tahun dan lebih yang belum berkahwin dan pengantin perempuan bukan Islam yang menurun daripada 32.4 kepada 22.8.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pada tahun 2020, hampir lapan peratus daripada jumlah perkahwinan adalah perkahwinan di antara pengantin lelaki dan perempuan yang berbeza kumpulan etnik.

Namun, bilangan perkahwinan antara etnik menurun 35.6 peratus, iaitu daripada 22,103 (2019) kepada 14,231.

Perkahwinan antara etnik bagi orang Islam adalah 71.2 peratus dan orang bukan Islam 28.8 peratus.

Beliau menambah, perkahwinan tertinggi adalah pada kumpulan umur 25-29 tahun bagi kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan.

Statistik juga menunjukkan umur pengantin lelaki dan pengantin perempuan paling tua direkodkan pada tahun 2020 adalah berumur 92 dan 84 tahun.

Sementara itu, 0.4 peratus pengantin lelaki berumur 65 tahun dan ke atas telah mengahwini pengantin perempuan yang lebih muda dalam kumpulan umur 24 tahun dan ke bawah.

Daerah Petaling mencatatkan bilangan perkahwinan tertinggi bagi orang Islam dan orang bukan Islam pada 2020.

Bilangan perkahwinan orang Islam di Petaling adalah 6,515 diikuti Johor Bahru (6,215) dan Ulu Langat (4,750).

Bagi orang bukan Islam, daerah Petaling mencatatkan bilangan perkahwinan iaitu 2,831 diikuti Johor Bahru (2,233) dan Klang (1,801).

Mohd Uzir Mahidin menambah, bilangan perceraian juga menurun 19.2 peratus daripada 56,624 (2019) kepada 45,754 (2020) disumbangkan oleh penurunan 16.8 peratus bilangan perceraian orang Islam pada 2020 (37,853) berbanding 2019 (45,502).

Tiga negeri yang mencatatkan penurunan tertinggi bilangan perceraian orang Islam iaitu Sabah (-38.9%), Putrajaya (-31.3%) dan Kuala Lumpur (-24.5%).

Perceraian orang bukan Islam turut menurun 29.0 peratus daripada 11,122 (2019) kepada 7,901 (2020).

Menurutnya, perceraian tertinggi adalah pada kumpulan umur 30-34 tahun bagi kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan.

Penduduk Malaysia mula berkahwin pada umur lewat 20-an berbanding pada umur awal 20-an pada tahun 1980-an.

Berdasarkan penemuan Banci Penduduk pada tahun 1980, 2000 dan 2010, umur purata perkahwinan perempuan meningkat daripada 19.4 kepada 25.1 tahun dan kemudian meningkat kepada 25.8 tahun pada 2010.

Umur purata perkahwinan perempuan menunjukkan peningkatan daripada 27.5 tahun (2016) kepada 28.1 pada 2020.

Senario semasa menunjukkan bahawa kecenderungan perkahwinan lewat dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan penduduk yang bekerja. – MalaysiaGazette