11 Jun 2026 04:48pm
Masa membaca: 4 minit

Gates (kiri) dan Epstein
WASHINGTON – Pengasas bersama Microsoft, Bill Gates memberi keterangan di hadapan jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) bahawa beliau pernah diperas ugut oleh pesalah seks, Jeffrey Epstein yang telah meninggal dunia, lapor media AS.
Menurut Gates, Epstein mengetahui hubungan luar nikahnya dan menggunakan maklumat tersebut sebagai tekanan terhadap dirinya ketika memberi keterangan secara sukarela kepada jawatankuasa pemantauan Dewan Perwakilan AS pada Rabu.
Gates yang berusia 70 tahun berkata, Epstein juga cuba memaksanya untuk meneruskan hubungan, namun cubaan itu gagal.
“Walaupun beliau mungkin cuba menjalin hubungan peribadi, saya tidak pernah berminat dan tidak pernah membalasnya,” katanya.
Dalam kenyataan yang disediakan, Gates berkata beliau bertemu Epstein pada 2011, namun memutuskan hubungan pada 2014 selepas Epstein gagal menunaikan janji untuk mengumpul dana berbilion dolar bagi projek kesihatan global.
“Jika masa yang saya luangkan bersama Epstein memberinya sebarang kredibiliti, saya amat kesal,” katanya.
Perbicaraan tersebut diadakan secara tertutup tanpa rakaman video.
Jawatankuasa berkenaan sedang menyiasat rangkaian penderaan yang dikaitkan dengan Epstein, seorang ahli kewangan yang meninggal dunia di penjara pada 2019.
Jutawan dari New York itu didakwa mengendalikan rangkaian penderaan melibatkan ramai wanita dan kanak-kanak, selain dipercayai melakukan penderaan terhadap golongan bawah umur selama beberapa tahun.
Gates turut mengakui pertemuannya dengan Epstein merupakan suatu kesilapan besar dalam pertimbangan, namun menegaskan beliau tidak pernah menyaksikan sebarang perbuatan jenayah.
“Saya tidak pernah ke pulau, ladang atau kediamannya di Florida. Saya tidak pernah menjadi mangsa atau memangsakan sesiapa,” katanya. – Bernama



