BN Sabah susun strategi, sedia hadapi PRN17 – Bung Moktar

BN Sabah susun strategi, sedia hadapi PRN17 – Bung Moktar

fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Jentera Barisan Nasional (BN) Sabah dalam keadaan bersiap siaga berdepan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), sekali gus optimis dapat merampas kembali tampuk pentadbiran kerajaan negeri itu.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, berbekalkan pengalaman meluas dalam politik dan mentadbir negeri, pihaknya giat menyusun strategi dan pendekatan yang selaras dengan kehendak rakyat.

“Kita tidak menunggu esok. Persediaan kita sudah lama berjalan. Semua jentera UMNO-BN di seluruh negeri kini berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum.

“Saya menyeru setiap pemimpin bahagian, sayap dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) pastikan jentera digerakkan 100 peratus bagi menjamin kemenangan calon-calon BN di seluruh Sabah.

“UMNO-BN bukan baharu dalam perjuangan ini. Kita mempunyai pengalaman luas mentadbir, membangun dan menjaga negeri Sabah. Pengalaman ini menjadi bekal utama kita yang akan memudahkan setiap jentera, calon dan kepimpinan melaksanakan tugas dengan lebih tersusun dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada PRN17.

Mengulas lanjut Bung Moktar berkata, dalam PRN kali ini, UMNO-BN akan menyusun strategi dan pendekatan yang selaras dengan kehendak semasa rakyat, bukan sekadar kata-kata manis kosong sebaliknya berdasar pelan dan tindakan yang nyata.

“Kita juga tidak akan menutup mata terhadap hakikat sebenar isu kegagalan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membangunkan negeri akan menjadi tumpuan utama dalam kempen BN kali ini,” katanya.

Menyentuh prestasi kerajaan negeri dipimpin GRS, Bung Moktar percaya rakyat Sabah mampu melihat sendiri kegagalan mereka dalam menguruskan hal ehwal ekonomi, pelaburan dan pembangunan negeri itu.

Kegagalan GRS katanya, membuatkan banyak kawasan di Sabah masih ketinggalan, malah dakwanya peluang pekerjaan juga sempit, selain dasar pembangunan negeri tidak tersusun.

Atas kegagalan itu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu percaya rakyat Sabah akan membuat pilihan bijak untuk memilih parti serta calon yang mampu membawa arus perubahan lebih baik buat rakyat dan negeri.

“Kita bukan datang dengan janji kosong, tetapi dengan keupayaan dan pengalaman yang telah terbukti. Kita sudah bersedia membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat Sabah.

“Kita percaya rakyat Sabah berhak untuk hidup lebih baik daripada hari ini, berhak menikmati peluang, kemajuan dan kestabilan politik yang kukuh.

“Inilah masa untuk kita betulkan semula haluan negeri Sabah. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Pengalaman UMNO-BN menjadi sandaran untuk memulihkan semula Sabah ke landasan kemajuan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top