BN tanding solo di PRN Negeri Sembilan – Ahmad Zahid

BN tanding solo di PRN Negeri Sembilan – Ahmad Zahid
BN tanding solo di PRN Negeri Sembilan – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ditemui media selepas merasmikan program Invest Malaysia 2026 di sini pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan politik itu akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan akan datang.

Presiden UMNO itu berkata, BN tidak mempunyai pilihan melainkan bergerak solo selepas Pakatan Harapan (PH) mengumumkan hasrat untuk bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ya, di Negeri Sembilan pastinya kita akan bergerak solo kerana (PH) telah mengumumkan mereka bertanding di seluruh 36 kerusi…jadi, kita tidak ada pilihan melainkan terpaksa bertanding secara solo,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Invest Malaysia 2026 di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut melahirkan rasa optimis terhadap prestasi BN dan menegaskan tumpuan utama ketika ini ialah untuk mendapat mandat daripada pengundi terlebih dahulu.

Mengulas lanjut mengenai kepimpinan di peringkat Persekutuan ketika ini, beliau berkata, hubungan kerjasama dalam kerajaan kekal utuh dan dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga penggal pentadbiran semasa berakhir. 

Ahmad Zahid juga menyifatkan, sinergi dalam kalangan gabungan sedia ada sebagai amat kukuh, dengan semua pihak bekerjasama rapat antara satu sama lain.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai tarikh sebenar penggal pentadbiran semasa akan berakhir, beliau berkata, soalan itu sepatutnya diajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, menyentuh mengenai status Muafakat Nasional, Ahmad Zahid berkata, spekulasi atau usaha untuk menghidupkan semula gagasan tersebut tidak lagi relevan dan isu berkenaan dianggap sudah selesai.

Beliau berkata, hal ini berikutan nama gagasan itu telah pun didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) oleh pihak lain.

“Muafakat Nasional telah didaftarkan sebagai sebuah NGO oleh seseorang… jadi, kita langsung tidak mempunyai niat dan hasrat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional sama ada versi 1.0 ataupun 2.0… itu telah muktamad dan kita telah tutup buku,” katanya.- Bernama 

Scroll to Top