
TIADA larangan untuk umat Islam bercakap-cakap dengan ahli kubur ketika menziarahinya.
Soalan
Ada sesetengah daripada kita suka untuk bercakap-cakap dengan kubur ketika menziarahi kubur ibu bapa atau saudara mereka. Apakah ia dibenarkan?
Jawapan
Menziarahi kubur merupakan perkara yang sunat dan sangat dianjurkan kepada umat Islam agar kita memperoleh peringatan tentang hakikat kematian.
Namun ia mestilah dilakukan dengan adab-adab yang dinyatakan para ulama agar amalan kebaikan ini tidak bertukar menjadi suatu yang tercela seperti memberi salam kepada ahli kubur, memakai pakaian menutup aurat dan sopan serta meninggalkan perbualan kosong.
Jika bercakap-cakap dengan ahli kubur, apakah ia dibolehkan dalam Islam?
Tiada larangan daripada Islam untuk bercakap-cakap dengan ahli kubur berdasarkan pandangan ulama dan hadis Rasulullah SAW.
Ibnu Qayyim dalam kitabnya Ar-Ruh menjelaskan bahawa orang yang telah meninggal dunia mengenali orang hidup yang menziarahinya dan dia suka dengan perbuatan ziarah itu.
Rasulullah SAW juga bersabda dalam sepotong hadis: “Tidaklah seorang lelaki melalui kubur orang yang dia kenali di dunia dan dia memberi salam ke atasnya, maka mayat itu juga mengenalinya dan menjawab salamnya.” (Hadis Riwayat Baihaqi)
Begitu juga ada satu hadis yang menceritakan Nabi Muhammad SAW pernah bercakap-cakap dengan mayat musuh selepas tamat perang Badar.



