suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Padang Besar: Beberapa titik sepanjang sempadan Malaysia-Thailand yang hanya dipisahkan oleh bahu jalan, menjadikan kawasan negara jiran itu berada begitu hampir seolah-olah hanya di seberang jalan.
Tinjauan Harian Metro yang menelusuri sendiri laluan keselamatan sempadan dari Bukit Kayu Hitam hingga Padang Besar kira-kira 40 kilometer (km), mendapati keadaan itu berlaku di beberapa jajaran sempadan yang terletak berhampiran laluan jalan raya Thailand.
Di beberapa lokasi, kawasan di sebelah Thailand yang berhadapan terus dengan sempadan Malaysia turut merangkumi ladang kelapa sawit, kebun-kebun kecil, kawasan hutan serta laluan jalan raya umum yang jelas kelihatan dari sisi Malaysia.
Situasi berkenaan menjadikan laluan tersebut antara kawasan yang memerlukan pemantauan berterusan oleh pasukan keselamatan kerana dipercayai berpotensi menjadi laluan keluar masuk pihak tidak bertanggungjawab serta aktiviti rentas sempadan secara tidak sah.
Di kawasan terbabit, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18, Briged Utara memperkukuh kawalan dengan pemantauan sepanjang pos-pos kawalan pada jarak tertentu di sepanjang jajaran sempadan.
Pos kawalan berkenaan menjadi titik pemantauan tetap bagi memastikan sebarang pergerakan mencurigakan dikesan lebih awal.
Tinjauan turut mendapati sebahagian struktur pagar sempadan berada dalam keadaan uzur dan usang akibat pendedahan berterusan kepada cuaca dan faktor persekitaran.
Bagaimanapun, terdapat beberapa bahagian pagar yang sudah dibaik pulih serta digantikan dengan struktur baharu bagi memperkukuh tahap kawalan di kawasan berkenaan.
Selain rondaan statik di pos kawalan, PGA turut melaksanakan rondaan bermotosikal secara berkala di laluan sempadan bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal.
Dalam masa sama, penggunaan dron pengimejan haba (thermal detector) oleh Unit Pasukan Gerakan Udara (PGU) turut digerakkan bagi membantu pemantauan udara terutama di kawasan yang sukar diakses secara fizikal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




