am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon dan penyanyi baharu, Auddra Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Odda mengakui masih belum mengenali semua artis tempatan, termasuk beberapa nama senior, namun menganggap perkara itu sebagai proses pembelajaran sepanjang bergelar anak seni.
Odda berkata, dia tidak malu mengakui masih ada artis yang hanya dikenalinya menerusi nama, malah ada juga yang hanya dikenal selepas bertemu secara bersemuka.
“Saya rasa bukan saya seorang saja. Mungkin ramai juga Gen Z yang tak kenal semua artis senior.
“Contohnya, ini kali pertama saya jumpa Kamal Adli. Sebelum ini saya tahu nama saja. Bila dah berjumpa depan-depan, barulah saya tahu orangnya,” katanya.
Menurut Odda, kebanyakan artis yang dikenalinya sebelum ini adalah rakan-rakan kepada ibu bapanya (Ijoy Azhari dan Sharifah Shahirah) memandangkan dia membesar dalam keluarga yang aktif dalam industri seni.
Katanya, selepas mula bergiat aktif sebagai artis, dia semakin mengenali lebih ramai penggiat seni dan tidak pernah malu untuk bertanya sekiranya tidak mengenali seseorang.
“Sekarang bila dah jadi artis, saya lebih kenal ramai artis. Dulu mungkin saya kenal muka saja, tapi tak tahu nama.
“Kalau pengurus beritahu siapa seseorang itu atau saya tak pasti, saya akan tanya. Saya memang tak malu untuk belajar,” katanya.
Odda berkata, ibunya juga sentiasa mengingatkannya supaya membuat persediaan sebelum memulakan sesuatu projek termasuk mengenali rakan artis yang bakal ditemui.
“Mama selalu pesan supaya saya kenal siapa yang akan bekerja dengan saya. Kalau saya tak tahu, saya akan tanya pengurus atau telefon mama.
“Saya tak nak malukan nama mak. Jadi saya kena ambil tahu dan sentiasa jaga adab,” katanya.
Tambah Odda, meskipun namanya kini semakin dikenali, dia tetap memilih untuk memperkenalkan diri setiap kali bertemu artis lain kerana tidak menganggap semua orang mengenalinya.
“Saya akan perkenalkan diri saya dan anggap orang tak kenal saya. Saya masih artis baharu. Saya kena ada adab, hormat orang lain dan sentiasa merendah diri,” katanya.
Odda yang bakal muncul dalam siri travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet percaya sikap sentiasa mahu belajar dan menghormati orang lain menjadi antara kunci untuk membina kerjaya yang panjang dalam industri seni.
© New Straits Times Press (M) Bhd




