mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Hujan berterusan di Kuala Lumpur menyebabkan beberapa kawasan mengalami tanah runtuh dan pokok tumbang.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima empat panggilan mengenai tanah runtuh dan tiga panggilan pokok tumbang di sekitar ibu negara hari ini.
Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dan BBP Jalan Hang Tuah menerima laporan pokok tumbang di Jalan Ang Seng 4, Brickfields pada 9.24 pagi, manakala BBP Seputeh menerima panggilan tanah runtuh di Blok C Pangsapuri Kos Rendah Jalan Sepadu 6, Taman United pada 11.02 pagi.
“BBP Jalan Tun Razak pula menerima panggilan pokok tumbang pada 11.10 pagi di Jalan Langgak Golf, Taman U Thant, manakala tanah runtuh di Jalan Maarof, Bangsar oleh BBP Pantai Dalam diterima jam 11.20 pagi.
“Tanah runtuh turut berlaku di Jalan Medang Tanduk Bukit Bandaraya-Bangsar dengan BBP Pantai dimaklum kejadian pada 3.24 petang.
“Kawasan lain terjadi tanah runtuh adalah di Flat Sri Lempah, Lorong Jugra-Jalan Klang Lama yang mana panggilan kecemasan diterima BBP Sri Petaling pada 4.32 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PGO JBPM Kuala Lumpur berkata, pokok tumbang turut dilaporkan di Jalan Kira-Desa Kiarama pada 5.45 petang tadi.
“Kesemua lokasi sudah dihadiri dan kerja-kerja pemantauan serta penyelamatan dilaksanakan oleh pasukan bomba dengan bantuan Unit Kecemasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Pasukan bomba masih berada di lokasi yang memerlukan pemantauan dan sentiasa bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan yang memerlukan tindakan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




