Boost Bank bakal terima pelabur baharu

Boost Bank bakal terima  pelabur baharu

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur : Axiata Group Bhd (Axiata) dalam proses mencari pelabur baharu untuk Boost Bank, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusannya, Vivek Sood.

Beliau berkata, bank itu dijangka menerima pelabur baharu menjelang suku kedua 2025.

“Kami sedang menjalankan proses ini. Kami belum boleh mendedahkan nama pelabur kerana masih menunggu kelulusan pihak berkuasa.

“Kami menjangkakan menjelang akhir suku kedua, Boost Bank akan mendapat pelabur baharu yang akan membantu membiayai keperluan masa depannya,” katanya dalam taklimat media sempena pengumuman keputusan kewangan Axiata bagi tahun kewangan 2024 secara maya di sini, semalam.

Dilancarkan pada Jun tahun lalu, Boost Bank adalah bank digital hasil kerjasama antara cabang fintech Axiata, Boost dan RHB Banking Group.

Sementara itu, Axiata juga akan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM4.4 bilion untuk tahun ini, dengan Indonesia menerima peruntukan terbesar.

Perbelanjaan modal itu turut diperuntukkan untuk pembangunan Edotco dan operasi di Bangladesh.

“Kami juga akan memperuntukkan sebahagian capex untuk menara dan operasi di Bangladesh. Tiga pasaran utama kami adalah Edotco, XL, dan Bangladesh kerana ketiga-tiganya adalah pasaran pertumbuhan. Oleh itu, kami akan terus melabur dalam pasaran ini,” katanya.

Syarikat itu juga menyatakan bahawa Boost terus menuju ke arah keuntungan dalam FY24, dengan pengurangan kerugian meskipun terdapat kos permulaan tambahan untuk Boost Bank.

Pendapatan Boost meningkat 2.5 peratus dalam FY24, disokong oleh sumbangan lebih kukuh daripada Boost Credit dan Boost Connect.

Bagi suku keempat 2024, Axiata mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM224.77 juta berbanding kerugian RM695.02 juta bagi tempoh sama pada 2023.

Pendapatan bagi tempoh terbabit sedikit lebih rendah pada RM5.36 bilion berbanding RM5.89 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Selain itu, Vivek berkata, dengan penggabungan XL Axiata-Smartfren dijangka selesai pada suku kedua 2025, semua pasaran Axiata akan beralih kepada struktur tiga pemain, dengan Axiata menguasai lebih 25 peratus bahagian pasaran di setiap pasaran.

“Walaupun berdepan cabaran seperti persaingan sengit di Indonesia dan Malaysia, ketidaktentuan di Bangladesh, serta keperluan pembiayaan bagi pengembangan rangkaian gentian di Indonesia, kami kekal optimis.

“Kami menjangkakan peluang akan muncul daripada kestabilan mata wang yang lebih baik, sinergi hasil penggabungan, serta pengoptimuman portfolio dan pengewangan aset yang berterusan,” katanya.

Syarikat itu mengumumkan dividen kedua sebanyak 5.0 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen sesaham bagi 2024 kepada 10.0 sen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top