Taipei: Syarikat penerbangan Taiwan, Eva Air, mengumumkan larangan penggunaan ‘power bank’ (bank kuasa) dalam semua penerbangannya bermula 1 Mac ini.
The Straits Times memetik akhbar Taipei Times, melaporkan peraturan sedia ada syarikat penerbangan itu hanya membenarkan ‘power bank’ dan bateri litium disimpan dalam beg kabin, manakala ia dilarang dimasukkan ke dalam bagasi yang didaftar masuk.
Bagaimanapun, menerusi langkah keselamatan terbaharu, Eva Air memutuskan untuk melarang sepenuhnya penggunaan ‘power bank’ dan bateri litium gantian sepanjang penerbangan bagi meningkatkan keselamatan di dalam pesawat.
Syarikat penerbangan itu menasihatkan penumpang supaya memastikan peranti elektronik mereka dicas penuh sebelum menaiki pesawat. Penumpang juga boleh menggunakan soket pengecasan yang disediakan di tempat duduk sekiranya perlu.
Langkah keselamatan baharu Eva Air ini dibuat selepas Korea Selatan melaksanakan larangan sama ke atas syarikat penerbangan negara itu sejak 13 Februari lalu.
Larangan itu sebahagian daripada langkah keselamatan penerbangan yang diperketatkan susulan insiden kebakaran dalam pesawat Air Busan pada Januari lalu, walaupun punca sebenar kebakaran masih belum dikenal pasti.
Air Busan pada 4 Februari turut mengambil langkah sendiri dengan melarang penumpang menyimpan power bank dan rokok elektronik di dalam bagasi yang disimpan di ruang penyimpanan kabin sebagai langkah pencegahan awal.
Mengikuti tindakan Korea Selatan itu, China Airlines juga menasihatkan penumpang supaya mengelakkan penggunaan ‘power bank’ dalam penerbangan. Syarikat itu turut melarang ‘power bank’ disimpan dalam bagasi yang didaftar masuk atas faktor keselamatan.
Sementara itu, syarikat penerbangan serantau, Mandarin Airlines, turut mematuhi peraturan sama.
Dalam perkembangan berkaitan, Starlux Airlines yang berpangkalan di Taiwan sudah melaksanakan larangan penggunaan ‘power bank’ dalam pesawat sejak mula beroperasi pada 2018. Sebaliknya, penumpang digalakkan menggunakan ‘port’ pengecasan yang disediakan di tempat duduk masing-masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd

