Bot karam: Dua daripada tiga mayat ditemukan lebih 100 km dari lokasi kejadian

Bot karam: Dua daripada tiga mayat ditemukan lebih 100 km dari lokasi kejadian

SIBU – Tiga daripada empat mangsa yang hilang dalam tragedi bot karam di Sungai Batang Baleh, di Kapit pada Khamis lepas, ditemukan lemas hari ini dengan mayat dua daripada mereka dijumpai lebih 100 kilometer (km) dari lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit Timothy Barat berkata dua mangsa telah dikenali pasti iaitu Sarjan Jonathan Lambert, 51, dan Jack Balan, 45, manakala seorang lagi masih belum dipastikan identitinya.

“Mayat Sarjan Jonathan ditemukan terapung berhampiran Terminal Bot Eskpres Kapit pada 4.02 petang dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Pistol masih lagi berada pada mayat mangsa semasa dijumpai,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata mayat Jack Balan pula merupakan yang pertama ditemukan oleh orang awam di perairan Pulau Kerto, Sibu, lebih 100km dari lokasi kejadian pada sekitar 11 pagi dan telah dikenal pasti oleh isteri mangsa.

Menurutnya mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

Timothy berkata mayat ketiga dijumpai oleh orang awam sekitar 11 pagi di perairan berhampiran Bintangor tetapi telah terlepas ikatan dan dihanyutkan arus sungai, sebelum ditemukan semula di Batang Lebaan kira-kira 200km dari lokasi kejadian oleh pasukan polis marin kira-kira 5 petang.

 

Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 6.30 petang dengan seorang lagi mangsa masih hilang.

Dalam kejadian pada 5 petang Khamis lepas, bot dinaiki lima orang termasuk dua anggota polis daripada Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kapit iaitu Sarjan Jonathan Lambet dan Konstabel Iskandar Ibrahim, karam selepas merempuh pusaran air berdekatan Sekolah Kebangsaan Lepong Baleh.

Ketika kejadian kedua-dua anggota polis itu dalam perjalanan dari Kapit ke Nanga Tulie bagi mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram dengan 1050rds bahan peledak, dilaporkan untuk kegunaan kerja-kerja meletupkan batu bagi projek pembinaan jalan di kawasan Baleh.

Turut berada dalam bot itu orang awam iaitu Amerson John Nain, 47, dan Jack Balan, 45, manakala seorang lagi orang awam, Moses Ngui, 47, berjaya diselamatkan orang ramai semasa kejadian. – BERNAMA